Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Orangutan spesies terancam lahirkan seekor anak

    NEW ORLEANS – Seekor Orangutan Sumatera yang amat terancam di New Orleans telah melahirkan seekor anak jantan yang sihat, tetapi saudara kembarnya meninggal dunia dalam kandungan, kata pegawai di Zoo Audubon.

    Menari yang berusia dua belas tahun melahirkan anak pertama tanpa masalah pada malam Krismas lalu dan sedang menyusukan anaknya, tetapi ia menghadapi masalah selepas itu, menurut satu kenyataan berita.

    Pasukan perubatan profesional telah dibawa masuk, termasuk pakar OBGYN dan neonatologi tempatan yang biasanya merawat manusia.

    Menari telah dibius dan ultrasound menunjukkan bahawa anak keduanya sudah mati dan dalam keadaan yang teruk. Pasukan itu dapat mengeluarkannya tanpa pembedahan Caesarean, menurut Zoo.

    Beruk besar yang dinamakan sempena rambut merah panjang dianggap sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi. Ancaman termasuk pemburuan dan pemusnahan hutan dan paya gambut di mana haiwan itu menghabiskan hampir sepanjang masa mereka di atas pokok.

    Seekor anak jantan Orangutan Sumatera yang dilahirkan oleh Menari di zoo di New Orleans. – AP

    Kurang daripada 14,000 hidup di hutan dan bilangan haiwan tersebut semakin berkurangan apabila ladang kelapa sawit menjejas habitat hutan, menurut Institut Alam Semula Jadi Audubon, yang mengendalikan zoo itu.

    Apabila kehamilan Menari diumumkan pada bulan Oktober, pihak zoo berkata terdapat kira-kira satu peratus peluang untuk mendapatkan anak kembar.

    Kelahiran kembar sememangnya berisiko tinggi.

    “Ini adalah masa yang pahit untuk pasukan kami, tetapi memandangkan komplikasi yang sangat serius dengan anak kedua, kami sangat gembira kerana Menari dan anaknya yang masih hidup dalam keadaan sihat,” kata doktor haiwan kanan Audubon, Bob Maclean.

    “Terdapat banyak risiko yang berkaitan dengan kehamilan, terutamanya bagi yang menjadi ibu buat pertama kali, tetapi pasukan veterinar kami dan pakar OBGYN sangat gembira dengan pemulihan Menari dan naluri keibuannya setakat ini.”

    Anak haiwan itu diberi susu botol semalaman, sementara Menari pulih, kata McLean dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada The Associated Press oleh jurucakap zoo, Annie Matherne.

    “Menari segera mengambil anaknya semula pada pagi Krismas, apabila ditawarkan kepadanya dan dia berjaya menyusukan anak tersebut,” katanya.

    Ibu dan anak haiwan tersebut berada di tempat berasingan untuk memberi mereka masa untuk mengenali satu sama lain dan membiarkan penjaga dan doktor haiwan menjaganya, kata zoo. Ia berkata anak haiwan itu menyusu dengan baik.

    Doktor haiwan tidak tahu apa yang menyebabkan kematian anak Menari yang lain, yang juga sudah cukup bulan, kata Mclean.

    “Pasukan perubatan menunjukkan bahawa plasenta kelihatan tidak normal. Kami akan menghantar tisu untuk histopatologi untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, tetapi keputusan itu akan mengambil masa beberapa minggu,” katanya.

    Menari dipelihara dengan tangan dan merupakan ibu pertama kali.

    Bagaimanapun, dia dapat memerhatikan ibunya, Feliz dan kakak angkatnya, Reese melahirkan dan membesarkan anak – Feliz pada 2019 dan Reese pada Februari lalu. Menari dan kakak tiri, Bulan sering makan, tidur atau mencari makan bersama, kata pihak zoo.

    “Pengalaman baru-baru ini dengan anak haiwan telah membantu mempersiapkan Menari untuk menjadi ibu,” menurut kenyataan berita itu.

    Anak haiwan itu merupakan anak ketiga bagi Jambi, yang juga mengasuh anak yang lahir pada 2019 dan tahun ini. Ia datang ke New Orleans pada 2018 dari Zoo Hannover di Jerman.

    Ia mungkin enam tahun atau lebih sebelum anak seterusnya lahir.

    Orangutan Sumatera tidak dicerai susu sehingga berumur kira-kira 7 tahun dan spesies betina mempunyai tempoh paling lama antara kelahiran mana-mana mamalia – 8.2 hingga 9.3 tahun, menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...