Orangutan terancam dijangka lahir anak kembar

NEW ORLEANS, 22 OKT – Spesies orangutan Sumatera yang terancam di New Orleans dikatakan bunting anak kembar, menurut pengumuman dibuat oleh zoo di New Orleans semalam.

“Kami sangat teruja mengenai perkara tersebut,” kata Bob MacLean, seorang pakar haiwan di Zoo Audubon, dalam satu kenyataan. “Kelahiran kembar sangat jarang berlaku bagi orangutan, hanya kira-kira satu peratus peluang ia berlaku.”

Kelahiran pada Disember atau Januari akan menjadi yang pertama buat Menari, 12, tetapi yang ketiga dan keempat bagi Jambi, orangutan jantan yang dibawa ke New Orleans pada penghujung 2018 dari sebuah zoo di Jerman.

Ia mengambil masa lebih enam tahun sebelum kumpulan tersebut melahirkan anak seterusnya.

Orangutan Sumatera menjadi dewasa selepas kira-kira tujuh tahun dan mempunyai tempoh paling lama melahirkan anak di kalangan mamalia lain iaitu kira-kira 8.2 hingga 9.3 tahun, menurut Kesatuan Pemeliharaan Semula Jadi Antarabangsa (IUCN).

Kira-kira 13,500 ekor dipercayai hidup di kawasan liar dan “secara keseluruhannya terus menurun dengan drastik,” menurut IUCN. – AP

Orangutan terancam di zoo New Orleans, Menari, bermain dalam kurungannya. Pihak zoo mengumumkan orangutan bakal melahirkan kembar pada Disember atau Januari. – AP