Ordinan bangunan Sarawak 1994 perlu ditambah baik

KUCHING, 16 Dis – Kebakaran rumah panjang di Sarawak mampu diatasi dengan penambahbaikan Ordinan Bangunan Sarawak 1994, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, kajian semula itu perlu dilakukan bagi memastikan semua rumah panjang mematuhi ciri-ciri keselamatan bangunan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini sekiranya berlaku kebakaran.

“Kerajaan negeri memandang serius kebakaran yang berlaku, khususnya di rumah panjang, dan langkah jangka panjang perlu diambil segera dengan meneliti semula ordinan tersebut.

Mengikut peraturan yang ditetapkan, setiap rumah panjang yang dibina perlu dilengkapi dengan sistem pencegahan kebakaran agar risiko kemusnahan harta benda dan kematian dapat dikurangkan. Struktur rumah panjang juga harus memiliki dinding penebat api bagi mengelakkan api merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Program Bomba Komuniti Dewan Undangan Negeri Satok di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Khiruddin Drahman.

Selain itu, Abang Johari turut menyeru komuniti negeri ini untuk melengkapkan diri dengan kemahiran memadam kebakaran melalui kempen ‘Fire Point’.

“Program fire point diperkenalkan sebagai tempat bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan dan permulaan kebakaran, selain meningkatkan budaya keselamatan serta pencegahan kebakaran dalam masyarakat setempat.

Dengan memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat setempat tentang pencegahan ia dapat mengurangkan risiko kebakaran dan kecemasan sebelum bantuan bomba tiba,” katanya. – Bernama

Abang Johari Tun Openg cuba mengangkat jentera untuk memotong besi yang digunakan oleh anggota bomba dan penyelamat pada penutupan program Bomba Komuniti N8 Satok kelmarin. – Bernama