Organisasi wajar amalkan IMS

KUCHING, 20 Feb – Organisasi wajar menggunakan sistem pengurusan bersepadu (IMS) kerana ia mampu mengelakkan duplikasi kerja dan peningkatan dalam kos audit, masa dan beban kerja, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan  Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata agensi awam atau syarikat swasta akan menghadapi masalah jika mereka melaksanakan sistem pengurusan berbeza pada masa yang sama seperti Sistem Pengurusan Alam Sekitar (ISO 14001) dan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OHSAS 18001).

“Organisasi sering mencari satu penyelesaian kepada masalah keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dan kemunculan IMS adalah satu penyelesaian baik kerana ia menggabungkan elemen sama dalam pelbagai sistem.

IMS adalah gabungan proses, prosedur dan amalan yang akan membantu menjadikan sesebuah organisasi lebih efisien dalam mencapai matlamat dan dasarnya berbanding satu sistem pengurusan yang pelbagai,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata keperluan kepada Sistem Pengurusan OSH dalam sebuah organisasi dinyatakan di bawah Seksyen 15(2) (a) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 yang memerlukan satu peruntukan dan penyelenggaraan kilang dan satu sistem kerja yang setakat ini boleh dilaksanakan, selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.

“Pelaksanaan sistem pengurusan di bawah pensijilan ISO 9001, ISO 14001 dan OHSAS 18001 adalah satu keperluan untuk kesinambungan perniagaan dan mereka yang mengamalkannya akan menikmati pelbagai manfaat seperti pengurangan kos operasi, peningkatan imej dan  faedah bersaingan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua organisasi yang telah mendapat pensijilan  OHSAS 18001 bahawa mereka akan diberi masa sehingga 12 Mac 2021 untuk berpindah ke ISO 45001.

“ISO 45001 adalah standard global pertama untuk OSH dan telah dibangunkan oleh sebuah jawatankuasa  dianggotai pakar-pakar OSH dari lebih 70 negara dan juga mengikuti pendekatan sistem pengurusan generik lain seperti ISO 14001 dan ISO 9001,” katanya. – Bernama