LIVERPOOL, 20 Jan – Pemain penyerang Liverpool dari Belgium, Divock Origi mencabar rakan sepasukannya untuk meneruskan tekanan ke atas pendahulu Liga Perdana, Chelsea, apabila The Reds menerima kunjungan kelab tercorot liga, Swansea City esok.
Pasukan kendalian Jurgen Klopp kini berada di tangga ketiga, tujuh mata di belakang Chelsea selepas keputusan seri 1-1 menentang Manchester United hujung minggu lalu.
Namun Origi yakin Liverpool masih mampu mengejar Chelsea selagi mereka tidak memperlahankan rentak di sepanjang bulan yang dipenuhi dengan jadual padat, menampilkan sembilan perlawanan dalam semua pertandingan.
Klopp melakukan sembilan pertukaran ketika perlawanan balas pusingan ketiga Piala FA pada Rabu lalu menentang Plymouth, dan mencatatkan kemenangan 1-0 hasil jaringan Lucas Leiva, gol pertamanya selepas tujuh tahun.
Satu lagi aspek positif daripada perlawanan itu ialah kembalinya perancang Brazil Philippe Coutinho yang memulakan perlawanan buat pertama kali selepas kecederaan buku lali ketika menentang Sunderland akhir November lalu.
Kreativiti Coutinho adalah kunci kepada kemaraan Liverpool ke kelompok atas liga awal musim ini dan adalah penting untuk memastikan kecergasannya berada di tahap terbaik untuk terus mengekori Chelsea.
“Saya rasa ia cukup padat di atas kami sekarang, tetapi anda perlu lihat perlawanan demi perlawanan,” kata Origi.
“Masih banyak perlawanan besar, perlawanan penting, jadi kami perlu terus bersatu dan menamatkannya dengan sebaiknya.” – AFP