MILAN, 6 JULAI – Divock Origi telah menandatangani kontrak dengan AC Milan selepas dilepaskan oleh Liverpool pada penghujung musim lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan juara Serie A itu kelmarin.
Dalam satu kenyataan, Milan memberitahu bahawa pemain antarabangsa Belgium berusia 27 tahun itu telah menandatangani kontrak dengan kelab itu sehingga 30 Jun 2026 dengan bayaran AS$4.23 juta semusim.
Origi berpindah ke Serie A selepas penampilannya bersama Liverpool terbatas dan tidak mencukupi untuk meng-aktifkan klausa pelanjutan kontrak bersama Liverpool.
Dia jarang memulakan perlawanan dan sering diturunkan dari bangku simpanan untuk The Reds namun menyumbang gol penting sepanjang lapan musim di Merseyside, sekali gus menjadikannya pemain kegemaraan di kalangan peminat dan pengurus, Jurgen Klopp.
Sumbangannya termasuk menjringkan dua gol dalam kebangkitan semula menentang Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara 2019, dan yang kedua ialah perlawanan akhir tahun itu ketika Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara keenam menentang Tottenham.
Dia telah bermain sebanyak 32 kali untuk negaranya dan ketiga-tiga gol antarabangsanya hanya mula dicatatkan pada 2014.
Milan telah membawa masuk Origi bagi menguatkan barisan hadapan yang bergelut bagi menghasilkan gol walaupun mereka memenangi perlumbaan kejuaraan Serie A pada musim lalu. – AFP