Orion IXL bawa penyelesaian teknologi kewangan ke pasaran Indonesia

KUALA LUMPUR, 15 April – Penyedia penyelesaian perniagaan dan teknologi kewangan, Orion IXL Bhd (Orion IXL), akan memulakan penerokaan perniagaan penyelesaian teknologi kewangan (fintech) pertamanya ke luar negara bagi pasaran Indonesia, menerusi perkongsian dengan PT Kirana Investima Nusantara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohamad Shaharul Mohamad Shariff berkata memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak telah ditandatangani bagi membentuk rangka kerja untuk kerjasama tersebut.

“Kerjasama ini adalah untuk menyediakan teknologi kami bagi sistem pengurusan pinjaman serta pemarkahan kredit dan analisis bersama dengan kecerdasan buatan (AI) untuk memproses pembiayaan mikro bagi 75,000 wilayah di Indonesia.

“Mereka akan menggunakan pembiayaan mikro untuk membangunkan semua wilayah ini dan pinjaman itu akan dikeluarkan melalui koperasi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa kumpulan itu, di sini, hari ini.

Mohamad Shaharul berkata perbincangan mengenai kontrak dan struktur perniagaan akan diadakan bulan depan.

“Kami telah memulakan perbincangan mengenai aspek teknikal kerana kami akan melakukan pengubahsuaian teknikal kerana perbezaan bahasa dan pengawal seliaan.

“Jadi kami akan melakukan pembangunan teknologi dalam beberapa bulan akan datang dan membincangkan fasa kerja serta tempoh masa berdasarkan keperluan mereka,” katanya.

Mohamad Shaharul berkata pasaran Indonesia akan diteroka secara berperingkat.

“Bagi perniagaan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer (CMMS) Orion IXL, kami mempunyai pelanggan di seluruh dunia tetapi untuk fintech, ini adalah usaha sama pertama.

“Saya menjangkakan bahawa dalam beberapa tahun, pasaran Indonesia akan terus berkembang dan mengatasi Malaysia dari segi permodalan pasaran,” katanya. – Bernama