Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ornamen tambah keceriaan hidup

    Oleh Amri HTZ

     

    ORNAMEN sering kali digunakan oleh kaum wanita untuk menghiasi kotak pensel, telefon bimbit, buku, beg tangan dan sebagainya dalam kehidupan seharian. Ornamen yang biasanya dibuat daripada plastik dan kayu agak popular digunakan dalam membuat perhiasan yang terjual di pasaran.

    Corak-corak yang terjual setentunya terdiri daripada pelbagai jenis menarik minat masyarakat yang melihatnya. Bagi anda yang mahukan suatu kelainan dan menghasilkannya sendiri, corak ornamen yang diinginkan juga boleh dihasilkan dengan mudah dengan menggunakan tanah liat (air dry clay) kerana sifatnya mudah untuk dibentuk dan terjual pada harga mampu milik.

    Barang-barang yang diperlukan

    Pada projek kali ini, barang-barang yang diperlukan adalah tanah liat (air dry clay), pembentuk corak kuih, pencetak huruf biskut (cookie stamp), penggelek tepung, papan penggelek tanah liat/tepung, kertas tisu pelbagai corak, gam Mod Podge, tali, reben, pewarna akrilik, alas plastik, pisau pemotong, kayu pencungkil gigi (bersaiz bulat) dan pembentuk tanah liat.

    Proses pembuatan

    Pada langkah pertama, mulakan dengan menggelek tanah liat yang telah disediakan. Sebelum melakukannya, papan penggelek tanah liat atau tepung yang disediakan tadi perlu dialaskan dengan menggunakan alas plastik.

    Tanah liat khas digunakan untuk menghasilkan ornamen.
    Tanah liat khas digunakan untuk menghasilkan ornamen.

    MPDIY LOGO

    Ornamen yang terbuat daripada tanah liat (air dry clay).
    Ornamen yang terbuat daripada tanah liat (air dry clay).

    Mod Podge merupakan gam jenis air yang sesuai digunakan dalam projek ini.
    Mod Podge merupakan gam jenis air yang sesuai digunakan dalam projek ini.

    Penggunaan alas plastik ini adalah untuk tidak membuatkan tanah liat yang digunakan menjadi kering (akibat penyerapan air pada permukaan) sekali gus menyukarkan proses membuat ornamen anda. Tetapi jika papan penggelek yang digunakan terbuat daripada bahan plastik, alas berbentuk plastik tidaklah perlu digunakan.

    Potong tanah liat menggunakan pisau pemotong atau hanya menggunakan tangan dengan mengambil sebesar genggaman (agar sukatan tidak lebih kerana tanah liat yang digunakan mudah mengeras apabila terdedah dengan udara) dan letakkan ke atas alas plastik yang telah disediakan.

    Setelah menggelek tanah liat sehingga menjadi rata dan sesuai dengan ketebalan yang diperlukan, potong tanah liat tersebut dengan menggunakan pembentuk corak kuih yang dipilih. Tekan pembentuk corak kuih tersebut dan pastikan tekanan yang diberikan serata agar potongan yang dilakukan cantik dan kemas.

    Pada langkah kedua, setelah memotong tanah liat dengan corak kesukaan, buat lubang pada bahagian tengah sisi corak yang telah dibuat. Pelbagai teknik atau barang yang boleh digunakan dalam proses ini. Anda boleh menggunakan batang pencungkil gigi atau kayu pencucuk sate malahan bekas plastik dakwat pen juga boleh digunakan mengikut peralatan yang dimiliki.

    Pastikan lubang yang dibuat juga nampak kemas yang berfungsi sebagai tempat untuk menggantung ornamen dengan menggunakan tali serba guna atau reben yang berwarna-warni.

    Pada langkah seterusnya, pencetak huruf yang telah disediakan akan digunakan pada proses ini. Cetak satu persatu huruf atau perkataan yang diinginkan dan pastikan dalam keadaan teratur. Bagi memastikan perkataan pada keadaan rata pada garisan, gunakan alas plastik kecil yang jernih berfungsi sebagai pembaris.

    Tisu yang terbuat daripada corak-corak yang cantik dapat menjadikan ornamen yang dihasilkan nampak unik.
    Tisu yang terbuat daripada corak-corak yang cantik dapat menjadikan ornamen yang dihasilkan nampak unik.
    Pembentuk corak khas tanah liat begitu penting untuk membentuk corak jika teknik free hand digunakan.
    Pembentuk corak khas tanah liat begitu penting untuk membentuk corak jika teknik free hand digunakan.
    Pemotong corak dan pencetak huruf tanah liat yang digunakan untuk menghasilkan corak ornamen.
    Pemotong corak dan pencetak huruf tanah liat yang digunakan untuk menghasilkan corak ornamen.

    Jika perkataan yang hendak dicetak terlalu banyak, pastikan anda melakukannya dengan cepat kerana ditakuti tanah liat akan mengering sekali gus proses pencetakan huruf tidak lagi dapat dilakukan.

    Bagi menambah corak yang berlainan pada ornamen anda, gunakan peralatan pembentuk atau pemotong tanah liat yang dikhaskan seperti dalam gambar yang diberikan. Bagi anda yang mempunyai tangan seni, pelbagai corak boleh ditambah pada permukaan ornamen anda menggunakan pembentuk tanah liat dan free hand.

    Jika ornamen yang dibuat tersilap cetak atau perubahan corak perlu dilakukan, anda setentunya boleh mengulangi proses pembuatan dengan menggelek semula tanah liat yang digunakan dan mencampurkan sedikit air agar tanah liat yang sama tadi dapat digunakan semula.

    Setelah siap membentuk corak pada ornamen anda, jemur tanah liat tersebut di tempat yang kering bersuhu bilik. Dinasihatkan agar anda tidak menjemur secara langsung pada sinaran matahari kerana ini akan menyebabkan permukaan ornamen yang telah disiapkan merekah disebabkan proses pengeringan yang terlalu cepat. Berikan masa 24 jam tanah liat untuk mengering sebelum meneruskan langkah seterusnya.

    Apabila anda sudah pasti ornamen yang dibuat mengering sepenuhnya, proses mewarna bolehlah dimulakan. Pastikan pewarna yang digunakan terdiri dari bahan asas akrilik bagi memastikan warna yang digunakan tahan lama dan melekat sepenuhnya pada permukaan tanah liat yang sudah mengering.

    Bagi anda yang ingin membuat kelainan pada ornamen yang telah dibuat, penggunaan kertas tisu pelbagai corak boleh membuatkan ornamen yang dicipta bertambah unik. Sapukan gam Mod Podge pada permukaan yang diinginkan dan lekatkan kertas tisu yang dipilih dan biarkan mengering.

    Penggunaan gam yang terpilih ini adalah bagi memastikan kertas tisu yang dilekatkan kukuh pada kedudukannya. Setelah selesai membuat ornamen anda, gantungkan pada tempat yang diinginkan dan ia setentunya akan menambahkan keceriaan dalam kehidupan anda!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda