Osaka, Bajin ‘berpisah’

TOKYO, 12 Feb – Pemain tenis nombor satu dunia, Naomi Osaka memilih untuk berpisah dengan jurulatihnya, Sascha Bajin hanya 17 hari selepas memenangi gelaran Terbuka Australia.

“Hai semua orang, saya tidak lagi akan bekerjasama dengan Sascha.

“Saya ingin berterima kasih atas kerja hebatnya dan mengucapkan selamat maju jaya buatnya,” kata pemain berusia 21 tahun itu dalam satu kenyataan di Twitter miliknya.

Bajin, yang juga bekas rakan gandingan Serena Williams membalas: “Terima kasih Naomi. Saya mendoakan anda yang terbaik. Ia suatu perjalanan yang hebat. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripadanya.”

Pemain dari Jepun itu, yang muncul pemain pertama Asia yang menyambar ranking teratas dunia selepas menewaskan pemain Republic Czech, Petra Kvitova dalam aksi final di Melbourne, bekerjasama dengan bekas pemain Jerman itu hanya untuk setahun lebih.

Gambar fail pada 5 Januari 2019 menunjukkan Bajin bercakap kepada Osaka ketika menentang Lesia Tsurenko semasa kejohanan Antarabangsa Brisbane di Australia. – AP

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak mendedahkan alasan mengapa mereka memilih untuk membawa haluan sendiri, tetapi media di Jepun menyatakan syarikat pengurusan Osaka IMG melaporkan bahawa terdapat perbalahan antara pemain itu dan jurulatihnya sejak awal tahun ini.

Menurut Nikkan Sports, beberapa sesi latihan dengan Bajin di Terbuka Australia hanya berakhir 10 minit dan kadangkala Osaka berlatih tanpa jurulatih di sisinya.

Osaka, yang dijadualkan untuk berentap di Dubai minggu depan, telah cuba untuk mencari jurulatih baharu sejak akhir tahun lepas, menurut media tempatan.

Bintang tenis muda itu menyambar gelaran Grand Slam sulungnya pada tahun lalu apabila menewaskan Serena di final Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang terus diingati gara-gara tindakan Serena memaki pengadil perlawanan.

Berpangkalan di AS, Osaka mula bekerjasama dengan Bajin pada hujung 2017 dan menikmati peningkatan prestasi, memanjat daripada tangga ke-72 hingga ke puncak ranking dunia ketika ini. – AFP