MELBOURNE, 17 JAN – Naomi Osaka berkata hari ini bahawa dia merasa ‘lebih selesa’ selepas mengalami tahun yang sukar, yang mana dia telah mendedahkan mengalami tekanan, telah berjanji untuk berseronok dan mencabar dirinya sendiri dalam gelanggang pada tahun 2022 ini.
Bekas pemain nombor satu dunia berasal dari Jepun ini memulakan usaha mempertahankan gelaran juara Terbuka Australia dengan kemenangan 6-3, 6-3 menentang pemain Colombia, Camila Osorio, kekal tenang walaupun terdapat kesilapan ketika pertengahan perlawanan berlangsung.
Juara utama empat kali, Osaka telah menewaskan pemain Amerika, Jennifer Brady dalam pusingan akhir Melbourne park tahun lalu, tetapi kemudian menarik diri dari Terbuka Perancis dan Wimbledon atas alasan isu peribadi.
Dia berkata bahawa masalahnya bertambah teruk apabila mengadakan temu bual dengan media selepas perlawanan dan dia berundur dari Terbuka AS pada September lalu, kemudian mengambil tempoh cuti rehat panjang.
Tetapi pemain berusia 24 tahun itu berkata bahawa dia dalam keadaan baik-baik sahaja sekarang dan berazam untuk lebih berfikiran positif.
“Saya ingin katakan bahawa saya merasa lebih selesa dengan diri saya, jika itu masuk akal. Seperti ada sifat manusia untuk berasa tidak senang, mahu menggembirakan semua orang dan sebagainya,” katanya.
”Saya merasa seperti akan ada masanya selepas Terbuka Perancis, saya merasa semua orang akan menghakimi dan saya tidak dapat keluar tanpa berfikir bahawa semua orang di sekeliling saya akan… saya pun tidak tahu.” “Ia sedikit janggal apabila awda pergi ke stadium untuk bermain dan awda merasa risau dengan maksud lirikan mata semua orang.”
“Kesimpulannya sekarang saya berusaha untuk belajar lebih mementingkan diri sendiri, tetapi dalam cara yang positif.” – AFP