Osaka guna Terbuka AS sebagai platform aktivisme

NEW YORK, 1 SEPT – Naomi Osaka tiba di gelanggang untuk perlawanan pembukaannya di Terbuka AS semalam dengan memakai penutup mulut dan hidung dengan tertera tulisan nama Breonna Taylor, seorang jururawat Afrika-Amerika yang ditembak mati oleh polis yang menyerbu apartmennya di Kentucky pada bulan Mac lalu.

Selepas Terbuka AS berakhir, Osaka mengatakan dia berharap dapat menghormati dengan mengingati enam mangsa ketidakadilan perkauman yang lain.

“Bagi saya, saya hanya ingin menyebarkan kesedaran,” kata Osaka setelah menang 6-2, 5-7, 6-2 ke atas Misaki Doi.

“Saya sedar tenis ditonton di seluruh dunia, dan mungkin ada sese-orang yang tidak mengetahui kisah Breonna Taylor.

“Mungkin mereka akan mencarinya di Google. Bagi saya, hanya menyebarkan kesedaran. Saya rasa semakin ramai yang mengetahui kisahnya, maka semakin menarik atau berminat mereka untuk menyertainya.”

Osaka berkata bahawa dia mempunyai enam penutup mulut dan hidung lain dengan nama orang kulit hitam yang dibunuh oleh polis yang diharapkannya dapat dipakai di sepanjang perlawanan Grand Slam.

“Saya mempunyai tujuh dan cukup menyedihkan bahawa tujuh tidak cukup untuk jumlah nama,” kata Osaka.

“Semoga saya mara ke final dan anda akan melihat kesemuanya.”

Pemain berusia 22 tahun itu telah berulang kali bersuara setelah tunjuk perasaan yang melanda Amerika Syarikat berikutan kematian George Floyd yang dibunuh oleh polis pada bulan Mei lalu. Osaka berkata bahawa dia semakin selesa dalam peranannya sebagai aktivis atlet. – AFP

Naomi Osaka, dari Jepun, memakai penutup mulut dan hidung ketika meraikan kemenangannya mengalahkan Misaki Doi, dari Jepun, dalam pusingan pertama kejuaraan tenis Terbuka AS, di New York semalam. – AP