Osaka juarai terbuka AS tewaskan Azarenka

NEW YORK, 13 SEPT – Pemain tenis dari Jepun, Naomi Osaka bangkit untuk menewaskan Victoria Azarenka dari Belarus untuk menjuarai Terbuka AS kelmarin dan sekali gus merangkul kejuaraan ketiga Grand Slam.

Osaka, pemain pilihan ke-4, menewaskan pemain bukan pilihan, 1-6, 6-3, 6-3 di Stadium Arthur Ashe yang hampir kosong di Flushing Meadows.

Ini merupakan trofi tenis ketiga buat Osaka, pemain berusia 22 tahun, selepas kemenangannya di Terbuka AS 2018 dan Terbuka Australia 2019.

“Saya tidak menyukainya. Ia adalah perlawanan yang sukar buat saya,” kata Osaka yang memperoleh kemenangan selepas bermain selama satu jam 53 minit dan sekali gus memenangi hadiah utama bernilai AS$3 juta.

Azarenka, 31, menamatkan set pertama dengan hanya 26 minit, mendominasi Osaka dengan kadar kejayaan 88 peratus dalam servis pertamanya.

Naomi Osaka dari Jepun menjuarai Terbuka AS selepas menewaskan Victoria Azarenka1-6, 6-3, 6-3. –AP

Pemain Jepun membuat kesilapan yang kebiasaannya jarang berlaku, dengan 13 kesilapan.
Azarenka kemudiannya mendahului 2-0 pada set kedua sebelum Osaka kembali bangkit dengan mematahkan pukulan servis Azarenka dua kali dan mendahului 4-3.

Osaka kembali mencatat momentum dan memenangi set ketiga dan seterusnya membawa kepada perlawanan penentuan.

“Saya hanya memikirkan ia akan menjadi sesuatu yang amat memalukan untuk tewas di bawah masa satu jam dan saya hanya terus mencuba dengan sedaya upaya dan menghentikan setiap tabiat yang buruk,” kata Osaka, menjelaskan tentang bagaimana dia kembali bangkit.

Osaka memperoleh kejayaan pertama set ketiga dalam empat perlawanan apabila dia mematahkan servis Azarenka untuk mendahului 3-1.

Azarenka mensia-siakan peluang keemasan untuk kembali ke perlawanan, melepaskan tiga break point ketika Osaka bangkit dari 0-40 untuk mempertahankan kedudukan mendahului 3-1.

Azarenka berjaya melakukan empat break point untuk menjadikan kedudukan 4-2 ketika dia berusaha untuk meneruskan perlawanan. – AFP