MIAMI, 25 MAC – Naomi Osaka kembali meneruskan prestasi mengagumkan kelmarin selepas dia hanya mengambil masa satu jam untuk menyingkirkan pemain pilihan ke-13 dari Jerman, Angelique Kerber dalam straight set dan menuju ke pusingan ketiga Terbuka Miami.
Bintang Jepun, yang meninggalkan Indian Wells dengan tangisan pada awal bulan ini selepas diganggu oleh peminat, dilihat berada dalam keadaan baik ketika Kerber ditewaskan 6-2, 6-3 di Stadium Hard Rock.
“Saya menuju ke perlawanan ini cuba mengawal dan berharap untuk bermain dengan lebih baik.”
Osaka, 24, kini bertemu Karolina Muchova untuk merebut tempat di pusingan keempat.
Muchova mara kelmarin menerusi straight set selepas menundukkan finalis Terbuka AS 2021, Leylah Fernandez.
Pemain bukan pilihan, Muchova menyingkirkan pemain pilihan ke-18 dari Kanada dengan keputusan 6-4, 7-6 (7/3).
Namun Osaka dilihat kembali menemui prestasi terbaiknya yang menyaksikan dia berjaya memenangi empat gelaran Grand Slams, yang memberi kegembiraan kepada ibunya, Tamaki, yang berada di tempat duduk peminat.
“Ia sememangnya sangat bermakna,” kata Osaka mengenai kehadiran ibunya.
“Saya rasa peminat di sini sangat ramah, dan saya juga melihat ada bendera Haiti, jadi saya sangat bersyukur.
“Saya memberitahu ramai orang, seperti semasa membesar, ibu saya jarang ada disebabkan dia sentiasa bekerja, tetapi tenis bukan sukan yang murah, awda semua tahu.
“Jadi untuk melihat dia berada di sini dan menikmati perlawanan, ia sangat bermakna bagi saya.”
Dalam perlawanan berasingan, Alize Cornet, seorang lagi pemain pilihan, tersingkir awal, pemain pilihan ke-31 dari Perancis itu disingkirkan oleh Alison Riske dari Amerika Syarikat (AS) 6-2,6-2.
Tetapi bagi pemain pilihan kesembilan dari AS, Danielle Collins, tiada masalah untuk melepasi halangan selepas menewaskan pemain Hungary, Anna Bondar 6-3, 3-6, 6-4. – AFP