Osaka umum tarik diri Terbuka Perancis

LOS ANGELES, 18 SEPT – Pemenang Terbuka AS baru-baru ini, Naomi Osaka menarik diri menyertai Terbuka Perancis disebabkan oleh masalah hamstring kelmarin.

Ini menjadi tamparan baharu buat Grand Slam yang di landa koronavirus, di mana mereka telah kehilangan pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty.

Pemain dari Jepun, Osaka, membuat pengumuman tersebut hanya selepas beberapa hari dia menjulang kejuaraan utama ketiganya dalam perlawanan tanpa kehadiran peminat di Terbuka AS, New York, kejohanan Grand Slam pertama yang diadakan sejak pandemik.

“Malangnya saya tidak dapat beraksi dalam Terbuka Perancis tahun ini,” kata Osaka menerusi media sosial Instagram dan Twitter. “Hamstring saya masih bengkak jadi saya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan di gelanggang tanah liat – kedua-dua kejohanan ini berlangsung dalam tempoh yang terlalu singkat bagi saya tahun ini,” katanya.

Terbuka Perancis bakal bermula pada 27 September di Roland Garros, yang telah dijadualkan semula dari awal tahun ini kerana penularan pandemik koronavirus. – AFP

Naomi Osaka meraikan kemenangan Terbuka AS baru-baru ini. Osaka mengumumkan dia terpaksa menarik diri dari Terbuka Perancis atas sebab kecederaan.-AP