Osimhen bantu Napoli rampas puncak Serie A

MILAN, 24 SEPT – Victor Osimhen berjaya meledak dua gol ketika Napoli membenam Sampdoria 4-0, semalam untuk meneruskan rekod cemerlang mereka di Serie A dan kembali merampas puncak liga.

Sementara itu, dalam perlawanan terdahulu, Ciro Immobile berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan untuk memberikan Lazio keputusan seri 1-1 menentang Torino.

Di Genoa, pasukan pelawat Napoli mengawal rentak perlawanan dalam 35 minit pertama.

Selepas 11 minit perlawanan berlangsung, penjaga gol tuan rumah, Emil Audero diperdaya oleh Osimhen melalui percubaan jarak dekat lalu melepasi garisan gol.

Sampdoria memberi respons dengan menyerang benteng pertahanan Napoli, namun David Ospina mempamerkan aksi menyelamat untuk membantu pasukannya. Napoli mengawal perlawanan selepas 39 minit apabila Fabian Ruiz berjaya menjaringkan gol menewaskan Audero melalui percubaan dari jarak 20 meter. Osimhen menambah mata jaringan selepas 50 minit perlawanan, menyambut bola hantaran Hirving Lozano dari arah kanan dan membuat percubaan dari jarak dekat.

Musim lalu merupakan musim pertamanya bersama Napoli, pemain Nigeria itu terlepas lebih dua bulan selepas mengalami kecederaan bahu semasa mewakili pasukan kebangsaan dan kemudian dijangkiti COVID-19 semasa pemulihan.

Piotr Zielinski melengkapkan kemenangan sembilan minit kemudian selepas dia menerima hantaran rendah dari Lozano dan membuat percubaan kemas. Osimhen mampu meledak lebih banyak gol. Percubaannya pada minit akhir perlawanan dibatalkan kerana ofsaid, kemudian percubaannya tersasar semasa satu-lawan-satu dengan Audero.

“Selepas apa yang berlaku musim lalu, dengan kecederaan dan COVID-19, bagi saya ini adalah permulaan yang bagus,” kata Osimhen sebelum diberi pujian oleh jurulatih, Luciano Spalletti.

“Dia banyak membantu saya, dia sentiasa memberikan saya keyakinan dan cara terbaik untuk membalasnya adalah dengan menjaringkan gol.” – AFP

Aksi Victor Osimhen membuat percubaan namun dihalang oleh pemain pertahanan lawan dalam pertemuan di Serie A, kelmarin. – AP