Osimhen rasa ragu sebelum sertai Napoli

MILAN, 27 OGOS – Pemain baharu Napoli, Victor Osimhen berkata kelmarin bahawa dia mempunyai ragu-ragu sebelum bersetuju untuk menyertai kelab Serie A kerana reputasi isu perkauman beberapa penyokong di Itali.

Napoli telah membelanjakan yuran rekod kelab sebanyak 80 juta euro untuk menandatangani penyerang Nigeria itu dari kelab Perancis, Lille.

“Terdapat sedikit rasa keraguan dalam diri saya kerana isu perkauman, satu masalah yang wujud di mana-mana,” Osimhen memberitahu jurnalis. “Kemudian saya melawat bandar Naples, melihat suasana dengan mata saya dan menyedari bahawa saya berada di sebuah bandar yang indah.

“(Perkauman) adalah isu di seluruh dunia. Saya yakin telah membuat pilihan tepat dan penduduk Napoli akan membuatkan saya berada seperti di tempat sendiri.”

Isu perkauman telah menjadi masalah yang berlarutan di stadium Itali, termasuk sorakan seperti monyet ditujukan ke arah pemain berkulit hitam. – AFP