PARIS, 28 Mei – Jelena Ostapenko ‘berang’ selepas tewas semalam, ketika dia menjadi wanita kedua di era kejohanan terbuka untuk tersingkir pada pusingan pertama, sekali gus gagal untuk mempertahankan kejuaraannya.
Ostapenko membuat 13 kesilapan servis berganda dan melakukan 48 unforced error dalam aksi yang penuh kesilapan ketika dia ditundukkan dengan mata 7-5, 6-3 oleh pemain yang tidak dikenali, Kateryna Kozlova dari Ukraine di Gelanggang Philippe Chatrier.
Persembahan pemain berusia 20 tahun itu adalah bertentangan dengan aksi perlawanan yang ditunjukkan 12 bulan lalu yang membawanya meraih gelaran juara.
“Saya fikir ia adalah hari yang dahsyat untuk saya,” kata Ostapenko.
“Maksud saya, secara amnya saya bermain mungkin seperti 20 peratus daripada apa yang saya boleh lakukan. Saya melakukan kira-kira 50 unforce error dan banyak melakukan kesilapan berganda. Sepertinya saya tidak dapat membuat servis hari ini.
“Semuanya membawa hasil yang sangat buruk.”
Pilihan kelima itu adalah hanya pemain keenam di era Kejohanan Terbuka untuk tewas dalam pusingan pertama kejohanan Grand Slam sebagai juara bertahan selepas Steffi Graf di Wimbledon pada tahun 1994, Jennifer Capriati (Terbuka Australia 2003), Anastasia Myskina (Terbuka Perancis 2005) , Svetlana Kuznetsova (Terbuka AS 2005) dan Angelique Kerber (Terbuka AS 2017).
Ostapenko berkata bahawa dia terjejas oleh kecederaan kaki yang dialami semasa kekalahannya pada separuh akhir menentang Maria Sharapova di Roma minggu lepas. – AFP