Sunday, December 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Otai tetap cergas main bola sepak

    MEDJA, SERBIA – Kehidupan Dragisa Kosnic tidak pernah lari dari bola sepak meskipun berusia hampir 67 tahun dan belum mempunyai rancangan untuk menggantung kasut bolanya.

    Dia bermain minggu ke minggu dalam liga bola sepak rasmi Serbia, yang memerlukan ujian perubatan yang ketat untuk memeriksa kecergasannya sebelum setiap musim.

    Dia mengatakan tidak mengetahui pemain lain seusianya dalam kedudukan yang sama – rakan sepasukannya kebanyakannya jauh lebih muda yang layak dianggapnya sebagai cucu.

    Kosnic, atau biasa dipanggil ‘Kole’, bermain untuk pasukan tempatannya di timur laut Serbia, Proleter Medja, yang kini berada dalam liga divisyen keenam.

    Dengan menaiki kereta Yugo yang berusia puluhan tahun dengan kasut bola yang lusuh dan alas kaki yang compang-camping, dia menuju ke padang yang tidak rata di tempat dia pernah bermain dalam pertandingan liga pertamanya pada tahun 1968.

    Dragisa Kosnic (depan, kanan) menyapa pihak lawan sebelum memulakan pertandingan. – AFP
    Kelihatan Dragisa Kosnic (kiri) cuba menyaingi pihak lawan. – AFP
    Dragisa Kosnic merupakan pemain bola sepak tertua yang bersiap sedia untuk pertandingan bola sepak di barat laut Medja. – AFP
    Dragisa Kosnic ketika memerah susu kambing di rumahnya. – AFP

    “Saya percaya bahawa tidak ada pemain berdaftar (seusia saya), dan jika ada, saya ingin bertemu dengan mereka dan bertanding,” kata Kosnic memberitahu AFP, sebelum pertandingan akhir bulan lalu.

    Pemain tengah pertahanan yang hebat mengakui bahawa dia tidak selalu dapat mengikuti rakan sepasukannya, yang termuda di antaranya adalah 50 tahun lebih muda.

    “Saya bermain lebih banyak dengan ‘membaca permainan’, jadi saya tahu bila hendak mula berlari, bila harus berhenti dan bila hendak memecut,” katanya.

    “Walaupun pada keesokan harinya dan dua hari selepas (perlawanan), otot saya sakit, saya tempang sedikit, jadi saya berendam di tab mandi air panas, dan setelah dua hari, saya bersedia untuk bermain lagi.”

    Kosnic tinggal di kampung Medja di rumah usang yang sama dia dilahirkan.

    Dia menerima pencen kurang dari 130 euro (AS$153) sebulan dan juga membela beberapa ekor kambing dan biri-biri.

    Pada lewat 1970an ketika Kosnic, yang juga biasa melatih pemain, berada di puncak karier bola sepaknya, dia bermain untuk pasukan lain, Proleter Zrenjanin.

    Kelab ini bertanding dalam bekas divisyen dua Yugoslavia tetapi berjaya menyingkirkan juara musim itu, Hajduk Split dalam pertandingan piala pada tahun 1978.

    Diberi inspirasi oleh orang ramai, Kosnic bersinar di lapangan dan mengatakan bahawa selepas itu dia didatangi oleh Hajduk untuk bergabung dengan kelab elit Croatia.

    Tetapi, nasib tidak menyebelahinya – empat hari kemudian dia mengalami patah kaki dalam perlawanan lain, kecederaan yang disalahkannya kerana merosakkan kariernya pada usia 25 tahun.

    Walaupun doktor menasihatkan Kosnic agar tidak bermain lagi, kurang dari setahun kemudian dia kembali ke padang dan sejak itu dia tidak berhenti. Ketika ini dia tidak sepantas dulu tetapi masih berjaya melakukan beberapa gerakan penting yang membantu pasukannya menang 2-1 menentang saingan tempatan.

    Kosnic mengatakan dia mengamalkan diet makanan yang sederhana, terutama berasaskan tenusu.

    “Saya tidak pernah meninggalkan susu. Setiap hari, sekurang-kurangnya satu liter.

    “Saya makan telur, tidak banyak. Apabila ada daging, saya memakannya, saya makan apa yang saya ada,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda