Outbreak optimis perbaiki persembahan

Tidak sekadar bersandar kepada rupa paras, kumpulan Outbreak sentiasa menajamkan vokal dan gerak tari agar kemunculan sebagai kumpulan trio diingati peminat.

Ini kerana nama Outbreak masih kurang dikenali peminat biarpun sudah tiga tahun berada dalam industri hiburan.

Sungguhpun begitu, ia tidak sesekali mematahkan semangat tiga jejaka, Shakirin Shah, 21, Allif Firdaus, 21, dan Hakeem Zamall, 23, untuk terus mengejar cita-cita.

Outbreak baru sahaja meluncurkan single berjudul Infiniti menaruh harapan yang besar agar karya itu mampu menempatkan mereka dalam industri, sekali gus melonjakkan nama Outbreak.

“Rupa paras adalah bonus, tetapi Outbreak lebih fokus kepada vokal dan tarian. Menerusi single Infiniti, peminat akan melihat keharmonian vokal kami. Malah, kami akan sentiasa menumpukan kepada latihan vokal setiap kali bertemu.

“Setiap ahli Outbreak memiliki vokal yang berbeza dan mempunyai kelebihan tersendiri. Nyanyian adalah asas penting kepada Outbreak, malah kami menjadikan kumpulan seperti Innuendo dan Ruffedge sebagai rujukan serta idola.

“Kami tidak mementingkan soal nampak kacak di depan peminat. Seperti dikatakan, vokal menjadi keutamaan,” kata Hakeem.

Lagipun, katanya, sudah lama tiada kemunculan kumpulan trio. “Jadi, strategi Outbreak mahu menghasilkan single dan karya yang segar. Kami ingin tampil berbeza dengan bakat baharu lain dengan mempertaruhkan muzik pop dan R&B,” katanya. – Agensi

Tidak sekadar bersandar kepada rupa paras, kumpulan Outbreak sentiasa menajamkan vokal dan gerak tari agar kemunculan sebagai kumpulan trio diingati peminat. – Agensi