Output pembuatan Singapura naik 13.7 peratus

SINGAPURA, 25 SEPT – Output pembuatan di Singapura bagi Ogos 2020 meningkat 13.7 peratus berasaskan tahun ke tahun, menurut Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, EDB selaku agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri berkata output naik 15.3 peratus, tidak termasuk pembuatan bioperubatan.

Berdasarkan purata pergerakan tiga bulan, EDB berkata output pembuatan berkurangan 0.7 peratus bulan lepas berbanding tahun sebelumnya.

Katanya berasaskan bulan ke bulan pelarasan musim, output pengeluaran meningkat 13.9 peratus dan menurutnya output naik 4.8 peratus, tidak termasuk pembuatan bioperubatan.

Dari segi prestasi mengikut kluster, kluster elektronik menokok 44.2 peratus pada Ogos berasaskan tahun ke tahun. Menurut agensi berkenaan, pertumbuhan kluster itu disumbangkan terutamanya oleh segmen semikonduktor yang meningkat 56.9 peratus, disokong oleh permintaan daripada perkhidmatan awan, pusat data dan pasaran 5G.

Bagaimanapun, output bagi kluster lain seperti pembuatan umum dan kejuruteraan pengangkutan masing-masing menguncup 18.6 peratus dan 36.0 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2020. – Bernama