Oxfam puji langkah Korea Selatan

SEOUL, 9 Okt – Korea Selatan merupakan antara negara yang mencapai kemajuan dalam merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin menerusi polisi berhubung perbelanjaan sosial, cukai dan hak-hak buruh, lapor agensi berita Yonhap memetik laporan yang dikeluarkan oleh sebuah agensi penyelidikan bukan berasaskan keuntungan pada Selasa.

Laporan Oxfam dan Kumpulan Antarabangsa Pembiayaan Pembangunan menonjolkan hasil kaji selidik yang merangkumi 157 negara dalam tiga bidang polisi yang dianggap kritikal dalam mengurangkan ketaksamaan, berdasarkan data sedia pada akhir 2017.

Korea, Indonesia dan Georgia telah dipuji kerana mengambil langkah-langkah positif manakala Nigeria, Singapura dan Argentina dinamakan dalam kalangan kerajaan yang menggalakkan ketaksamaan.

“Di seluruh dunia, kerajaan telah mengambil langkah polis yang keras untuk memerangi ketaksamaan. Presiden Moon (Jae-in) dari Korea Selatan menduduki tangga teratas, dengan menaikkan cukai terhadap golongan kaya, meningkatkan perbelanjaan bagi golongan miskin dan menaikkan gaji minimum secara mendadak,” menurut laporan itu.

Korea menduduki tempat ke-56 secara keseluruhan dalam Indeks Komitmen bagi Mengurangkan Ketaksamaan, tempat ke-60 dari segi perbelanjaan sosial, ke-81 dari segi cukai dan ke-61 dari segi hak-hak buruh.

Laporan itu menyebut bahawa sejak dua dekad lepas, tahap ketaksamaan negara itu telah meningkat dengan pesat.

Pertumbuhan pendapatan golongan yang berada di bawah mengalami kelembapan manakala 10 peratus bahagian teratas menyaksikan pendapatan mereka berkembang sebanyak enam peratus setiap tahun yang membolehkan mereka menuntut sehingga 45 peratus daripada pendapatan negara.

“Moon komited untuk menaikkan gaji minimum secara mendadak dan pada tahun pertama mengambil alih jawatan, beliau telah berjaya melaksanakan langkah ini, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 16.4 peratus,” menurut Oxfam.

Beliau turut menaikkan cukai ke atas syarikat-syarikat besar dan mereka yang berpendapatan tinggi serta melaksanakan program untuk memperluas perbelanjaan kebajikan.

Denmark mendahului indeks itu berdasarkan sejarah panjang percukaian yang progresif dan tinggi, perbelanjaan sosial yang amat baik serta perlindungan pekerja, namun kerajaan sejak kebelakangan ini telah menarik balik polisi terbabit dan ketaksamaan meningkat dengan begitu cepat, menurut laporan itu.

Laporan itu menggesa kerajaan menjalankan usaha-usaha bagi mengurangkan ketaksamaan yang melambatkan pertumbuhan ekonomi dan melemahkan perjuangan memerangi kemiskinan serta meningkatkan ketegangan sosial.

“Bank Dunia meramalkan bahawa melainkan kerajaan menangani isu ketaksamaan, maka matlamat untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2030 tidak akan tercapai dan hampir setengah bilion orang akan terus dibelenggu kemiskinan tegar,” katanya.

Indeks itu telah dikeluarkan menjelang mesyuarat mingguan menteri-menteri kewangan, gabenor bank negara dan pemimpin ekonomi lain di pada mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa di Bali, Indonesia. – Bernama