ISTANBUL, 15 JULAI – Pemain tengah Jerman yang memenangi Piala Dunia, Mesut Ozil kelmarin bersetuju untuk menandatangani kontrak dengan juara Turki 2020, Basaksehir, sehari selepas dia meninggalkan pesaing mereka, Fenerbahce.
Basaksehir terkenal dengan hubu-ngan rapatnya dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang banyak membantu Ozil di majlis perkahwinannya pada 2019 dengan bekas ratu cantik Turki, Amine Gulse.
Ozil, 33, meninggalkan Fenerbahce dengan baki dua tahun perjanjian.
Dia menyertai pasukan Istanbul itu kurang setahun setengah yang lalu tetapi telah diketepikan daripada pasukan utama sejak akhir Mac berikutan isu pertikaian.
Sementara itu, pengurus baharu, Jorge Jesus menjelaskan dia tidak akan tergesa-gesa untuk membatalkan keputusan itu apabila dia memegang jawatan tersebut pada awal Jun.
Ozil tiba di Fenerbahce pada Januari 2021 dari Arsenal, di mana dia telah dikecualikan daripada menyertai skuad Liga Perdana dan Liga Europa Gunners musim itu.
Perlawanan terakhirnya bersama Arsenal ialah pada Mac 2020.
Ozil menyertai Arsenal dari Real Madrid pada 2013 dan menjulang Piala FA sebanyak tiga kali di bawah pengendalian Arsene Wenger.
Pemenang Piala Dunia Jerman 2014 yang berasal dari Turki itu menamatkan karier antarabangsanya selepas apa yang disifatkannya sebagai serangan ‘perkauman’ berikutan penyingkiran Jerman pada pusingan pertama Piala Dunia 2018.
Dia kemudiannya dihujani kritikan keras di Jerman selepas bergambar dengan Erdogan pada 2018. – AFP