DENGKIL – Lim Tien Hong, 36, seorang OKU cacat penglihatan yang tinggal di sebuah flat di Brickfields, Kuala Lumpur. Beliau membuktikan perkhidmatan PA yang disediakan oleh ILC di bawah kendalian pertubuhan bukan kerajaan, Malaysia Independent Living Association for Disable (MILAD) berjaya membawa beliau kembali ke alam pekerjaan.
Tien Hong yang juga pelajar Ijazah Kedoktoran jurusan Kajian Pembangunan di Universiti Malaya berkata beliau diberhentikan kerja pada tahun lepas dan kemudiannya menggunakan khidmat PA bagi membantunya ke karnival kerjaya untuk golongan OKU.
“Pada masa sama saya guna perkhidmatan PA untuk tolong mengisi borang permohonan pekerjaan,” katanya yang turut menggunakan perkhidmatan PA jika ingin keluar membeli barangan harian.
Selepas diterima bekerja di sebuah syarikat swasta di Cheras, beliau turut dibantu oleh PA untuk membiasakan diri menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja.
“Sebelum memulakan kerja di tempat baharu itu, saya bersama PA telah menghabiskan masa lebih empat jam untuk berlatih menaiki LRT dan Monorel dan membiasakan diri untuk mengambil laluan dan tangga yang betul untuk ke tempat kerja itu,” katanya yang kini sudah mahir menggunakan pengangkutan awam tanpa kehadiran PA di sisi.


Meskipun begitu, beliau masih belajar untuk mengelakkan diri daripada situasi terpijak lopak air, terjatuh dan terhantuk dinding di sepanjang perjalanan ke tempat kerjanya.
Sementara itu, Pengasas MILAD, Sia Siew Chin melihat perkembangan baik yang ditunjukkan Tien Hong itu sebagai hasil keberkesanan perkhidmatan PA yang disediakan NGO itu sejak tahun lepas.
“Saya sendiri sebagai seorang OKU yang menggunakan khidmat PA melihat sistem ini telah banyak membantu ramai OKU misalnya di Jepun dan Amerika Syarikat, PA membantu membolehkan OKU hidup bersama masyarakat tanpa dipinggirkan,” katanya dan menambah ILC di MILAD telah membantu 25 OKU setakat ini.
Dua ILC ada tersedia di Bangi dan Petaling Jaya yang mula beroperasi sejak September tahun lepas dengan peruntukan RM900,000, manakala pada tahun ini, kementerian memperuntukkan tujuh lagi pusat ILC bagi memenuhi keperluan lebih setengah juta golongan OKU berdaftar di negara ini. – Bernama




























