PABD dipilih sebagai penerima anugerah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) telah mencatatkan satu penghargaan besar bagi persatuan berkenaan apabila telah dipilih sebagai penerima anugerah Teleskop Untuk Semua (Telescopes For All) daripada Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PABD, di sini, hari ini, menyatakan sebanyak 17 golongan komuniti yang memerlukan sokongan dalam bidang astronomi di serata dunia termasuk Negara Brunei Darussalam telah pun dipilih untuk menerima teleskop khas yang ditandatangani oleh para angkasawan dan para penerima Hadiah Nobel.

Kumpulan itu merupakan kumpulan yang pertama untuk me-nerima teleskop-teleskop yang diedarkan oleh Telescopes for All: Inspiring Starts & Stars Shine for Everyone Collaboration.

Penyertaan dari Negara Brunei Darussalam dengan kertas cadangan Making Space for All (MASA) yang dihasilkan oleh ahli PABD, Dayang Nur Bazilah binti Zainal Abidin, telah mendapat kejayaan di peringkat antarabangsa untuk menerima anugerah berupa sebuah teleskop daripada IAU.

Kenyataan menjelaskan bahawa MASA mengusulkan ranca-ngan tindakan jangka masa pendek bagi salah satu inisiatif PABD dalam mendekatkan astronomi serta meningkatkan minat pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan masyarakat khususnya menyasarkan kepada golongan kanak-kanak kelainan upaya dan kaum perempuan di Brunei Darussalam.

Dayang Nur Bazilah selaku penerima anugerah Telescopes for All daripada IAU. – Gambar serahan PABD

Program bertaraf antarabangsa iaitu Teleskop Untuk Semua anjuran bersama oleh pihak IAU melalui Office for Astronomy Outreach (OAO) dengan Stars Shine for Everyone (Sterren Schitteren voor Iedereen – SSVI) dan Universe Awareness/University of Leiden.

Program itu bertujuan untuk memperluaskan bidang ilmu pengetahuan kanak-kanak, ibu bapa dan juga tenaga-tenaga pengajar untuk mencetuskan minat dalam bidang sains, serta meningkatkan peluang yang sama rata untuk menceburi kerjaya dalam bidang astronomi.

Penganjuran program pada awal tahun ini merupakan tindakan susulan bersempena sambutan ulang tahun ke-100 kesatuan tersebut pada 2019, yang mana kesemua teleskop tersebut adalah pemberian ihsan dari Syarikat Bresser.

Program global itu telah menerima sebanyak 172 permohonan berasaskan kertas cadangan yang telah disokong oleh IAU National Outreach Coordinator (NOC) dari sebanyak 34 buah negara. Kertas-kertas cadangan yang terpilih di antaranya akan membawa teleskop tersebut kepada masyarakat di kawasan-kawasan pendalaman di Cameroon dan Tunisia, para pendatang dan pelarian di Sepanyol, dan juga kepada kanak-kanak kelainan upaya dalam pendengaran dan penglihatan di Indonesia dan Nepal.

Sebanyak 17 cadangan yang terpilih untuk menerima anugerah berupa sebuah teleskop daripada IAU iaitu Telescopes for All in the heart of Argentina, Villa Mercedes Astronomy Club, Argentina; Seichu-Jurá Project, Sociedade de Astronomia do Maranhão, Brazil; Making Space for All (MASA), Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam; Telescopes for All in Cameroon, Bilingual Secondary School, Cameroon; A Telescope for the Mangilaluk School in Tuktoyaktuk, Canada; Telescopes for All in Chile, “Hermanos Carrera” School, Angol, Los Lagos Region, Chile; Telescopes for All in the Dominican Republic, ASTRODOM, Dominican Republic; Telescopes for All in Haiti, Haiti; Groupe Astro-Jeunes-Ado, Haiti; The Universe for Everyone, Andromed; Ahmad Dahlan University, Indonesia; Astronomy is Open to Everyone, Asif n Ait Bounouh Association for Culture and Awareness, Maghribi; Telescopes for All in Nepal, Blind Rocks!, Nepal; Telescopes for All in Panama, Panama Rainforest Discovery Center, Panama; Mirando al Cielo, Paraguay; Telescopes for All in Peru, Huaycán Cultural, Peru; Socio-educative support for migrant and refugee children, Sepanyol; Telescopes for All in Tunisia, Enfidha Astronomy Club, Tunisia; serta Astronomy for All, Saigon Astrokids (SAK), Vietnam.

Setiap teleskop yang dianugerahkan akan dilengkapi dengan sebuah kamera digital bagi membolehkan para penerima anugerah melaksanakan cadangan program mereka dengan mengongsi maklumat yang diperoleh dari teleskop berkenaan kepada masyarakat secara dalam talian (online) semasa pandemik wabak COVID-19 ini.

Semua teleskop akan dijangka dihantar kepada para penerima anugerah pada akhir bulan September 2020.