PABD, NASO meterai MoU

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan PABD

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) dan Persatuan Astronomi Nepal (NASO), kelmarin, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi Projek Sains Masyarakat yang diadakan secara dalam talian.

Menandatangani MoU berkenaan bagi pihak PABD ialah Presiden, Haji Mahadi bin Haji Tahir manakala itu, NASO diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, Suresh Bhattarai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kedua-dua pertubuhan itu telah menjalin kerjasama selama 15 tahun untuk mengongsikan dan melaksanakan secara kolaboratif empat bidang utama dalam astronomi.

Perlaksanaan aktiviti-aktiviti berasaskan penerapan data astronomi dalam projek-projek sains masyarakat (citizen science projects) seperti program pencarian asteroid selain bersetuju untuk mewujudkan jaringan komunikasi antara kedua-dua negara.

Kesepakatan berkenaan, tambah kenyataan, akan memudahkan kegiatan pengumpulan sumbangan dana untuk menyokong pelaksanaan projek-projek yang akan dianjurkan. Selain itu, PABD dan NASO juga akan menyokong pengembangan astronomi di kedua-dua buah negara dalam bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.

Kenyataan menyatakan, aktiviti-aktiviti kerjasama yang akan dilaksanakan di bawah MoU berkenaan dihasratkan untuk mencapai komuniti saintifik yang kukuh di antara kedua-dua buah negara selain menghasilkan kajian dan penemuan saintifik baharu, membangun kapasiti melalui peningkatan interaksi dan latihan ilmiah serta menganjurkan projek astronomi yang lain.

NASO dan PABD menyedari data dan teknologi astronomi sangat penting serta berpotensi untuk menyumbang manfaat kepada masyarakat melalui penerapan dalam pelbagai bidang.

Melalui MoU tersebut, kedua-dua organisasi turut bersetuju untuk menggunakan data astronomi dalam pendidikan, pembangunan, dan kegiatan masyarakat. Kolaborasi berkenaan juga bertujuan untuk perkongsian sumber, jaringan dan kepakaran demi kemajuan serta pembangunan bidang astronomi di kedua-dua negara.

Majlis menandatangani MoU tersebut yang diadakan secara dalam talian turut dihadiri oleh ahli-ahli pengurusan eksekutif bersama anggota daripada kedua-dua pertubuhan.

Suresh Bhattarai menunjukkan MoU yang telah ditandatangani oleh Brunei dan Nepal secara dalam talian.
Haji Mahadi semasa majlis memeterai MoU bagi Projek Sains Masyarakat berkenaan.