MANILA, 18 Okt – Bintang tinju Filipina, Manny Pacquiao berkata pertarungannya dengan peninju Amerika Syarikat (AS), Adrien Broner pada Januari ini hampir pasti, namun menepis kenyataan bahawa dia akan bertarung semula dengan Floyd Mayweather.
Pacquiao, 39 tahun mempamerkan aksi kehebatannya dalam sukan itu selepas membuat pukulan knockout ke atas Lucas Matthysse dari Argentina Julai lalu, pukulan knockout pertamanya sejak sembilan tahun lalu.
Sejak itu, Pacman menepis kemungkinan dia akan bersara dan berjanji untuk bertarung lagi.
Pada satu majlis amal lewat semalam di Manila, Pacquiao memberitahu pemberita dia mahu menentang Andrien Broner. Dia menambah bahawa dia lebih suka melawan bekas juara dunia itu pada 12 atau 19 Januari 2019, dan ‘mungkin’ berlangsung di Las Vegas.
“Ia hampir muktamad, namun belum pasti,” kata Pacquiao mengenai pertarungan itu sambil menambah bahawa ’90 peratus’ sudah terlaksana.
Mayweather, 41, berkata pada September lalu, dia akan keluar daripada persaraan untuk menentang Pacquiao akhir tahun ini dalam pertarungan ulangan tahun 2015 yang memberikan kedua-dua peninju itu bayaran yang lumayan.
Bagaimanapun, tidak ada rancangan konkrit yang muncul untuk pertarungan ulangan itu dan Mayweather kemudian berkata dia akan kembali ‘untuk acara tinju besar’ di Tokyo sebelum menentang Pacquiao.
Ditanya pada majlis amal semalam mengenai pertarungannya dengan Mayweather, Pacquiao berkata “ia belum dimuktamadkan”. – AFP