MANILA, 23 Okt – Pertarungan yang berpotensi sebagai blokbuster antara Manny Pacquiao (gambar bawah) dan Floyd Mayweather semakin dekat apabila ikon tinju Filipina itu mengesahkan dia telah menandatangani perjanjian dengan Kejuaraan Tinju Perdana (PBC) milik Al Haymon.
Pacquiao berkata dia akan mengakhiri kerjayanya dengan berdepan ‘peninju PBC teratas’ semasa mengumumkan lewat semalam mengenai penandatangan kerjasamanya dengan penasihat Mayweather yang berpengaruh.
“Pasukan saya akan bekerjasama rapat dengan Al Haymon untuk baki kerjaya saya bagi pertarungan yang paling dinanti-nantikan dengan peninju PBC teratas,” kata Pacquiao dalam satu kenyataan.
“Ini adalah pertarungan yang ingin dilihat oleh para peminat dan yang saya mahukan sebelum mengakhiri kerjaya saya,” katanya.
Minggu lalu, Pacquiao berkata dia ’90 peratus’ yakin pertarungan dengan bekas juara dunia dalam empat kelas, Adrien broner akan berlangsung pada Januari ini dan mungkin di Las Vegas.
“Pacquiao akan mempertahankan gelaran kelas welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) buat kali pertama, memulakan kerjasama baharu ini,” kata PBC dalam satu kenyataan tanpa memberikan butiran lanjut.
“Perikatan baharu itu akan menyaksikan pasukan Pacquiao dan Haymon bekerjasama untuk memandu arah baki kerjayanya yang luar biasa,” tambahnya.
Perjanjian itu dapat membuka jalan bagi pertarungan semula Pacquiao-Mayweather yang pernah berentap pada tahun 2015 dan berjaya menjual dengan rekod 4.6 juta pay-per-view (PPV) dengan jumlah keuntungan lebih dari AS$600 juta. – AFP