Pacu industri solar Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 FEB – Dengan kesedaran yang meningkat mengenai manfaat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang bukan hanya kepada alam sekitar tetapi juga ekonomi, industri tenaga solar Malaysia dijangka terus berkembang.

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Plus Solar System Sdn Bhd, Ko Chuan Zhen, industri RE negara menuju ke arah hala tuju yang tepat, berikutan sokongan kerajaan yang kukuh dan pengenalan kepada inisiatif untuk membangunkan keyakinan pelabur dan mengurangkan kos.

Plus Solar Systems adalah syarikat pemasangan solar tempatan.

“Apabila kami bermula pada 2011, seluruh industri adalah di peringkat awal dan orang ramai mempunyai banyak keraguan tentang dasar dan mempersoalkan sama ada solar itu adalah sesuatu yang stabil.

“Dengan banyak masa diperuntukkan untuk mendidik pasaran, apa yang saya dapat lihat ialah kesedaran itu ternyata meningkat sepuluh kali ganda, berbanding 10 tahun lepas. Dan hari ini tahap kepercayaan, keyakinan perniagaan dan kebolehpercayaan teknikal berada di kemuncaknya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini. – Bernama