Pacu industri tradisi negara

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Yusrin Junaidi & Fizah HAB

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Generasi muda perlu mengetahui dan menyedari bahawa industri tradisi harus dianggap sebagai penting kerana ia boleh mengukuhkan dan menjana ekonomi individu, keluarga dan juga negara.

“Kita mengetahui dan maklum bahawa terdapat peniaga-peniaga yang bersedia untuk memberi laluan kepada para peniaga kecil dengan mengutamakan produk-produk keluaran tempatan di gedung-gedung dan butik-butik perniagaan di negara ini, dengan membantu menjual produk keluaran industri tradisi negara kita sendiri.”

Perkara itu disentuh oleh Pemangku Pengarah Akademi Pengajian Brunei (APB), Dr Haji Tassim bin Haji Abu Bakar ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar dan Pameran Industri Tradisi Brunei yang diadakan selama hari ini hingga Ahad di The Mall, Gadong.

Menurutnya, “Dalam menangani permintaan bagi produk industri tradisi ini, saya melihat banyak pembaharuan yang boleh dilakukan sama ada secara perseorangan ataupun secara berorganisasi demi menyokong pembangunan industri tradisi ini, asalkan prinsip ‘utamakan produk tradisi tempatan’ terselit di dalam jiwa kita sendiri.”

Beliau turut menggesa kepada para pelajar agar terus gigih melengkapi diri untuk menjadi warga yang berpengetahuan tinggi dan sentiasa menyayangi serta menyanjung industri tradisi yang ada sekali gus mengangkat martabat bangsa dan negara.

Dr Haji Tassim semasa melawat petak pameran yang diadakan di Gadong, kelmarin.

“Saya yakin, dengan semangat dan usaha tanpa mengenal erti putus asa yang ditanamkan di kalangan generasi muda kita pada hari ini akan dapat membina diri mereka dalam memacu ke arah pembangunan yang lebih maju dan cemerlang di bidang perekonomian,” ujarnya.

Ketika mengulas mengenai pameran itu, Dr Haji Tassim melihatnya sebagai platform yang sangat sesuai dalam usaha mengangkat dan memperkasakan kembali industri tradisi negara ke tahap yang cemerlang dan terus gemilang.

Acara tersebut dianjurkan oleh APB, Universiti Brunei Darussalam dengan disokong oleh Abdul Razak Holdings dan ia merupakan hasil usaha yang dilaksanakan oleh sembilan orang pelajar APB yang mengikuti Modul PB-3303 Industri Tradisi Brunei.

Program itu adalah sangat digalakkan untuk diambil oleh para mahasiswa dan mahasiswi bagi memberikan peluang kepada mereka menyahut cabaran dalam mempertahankan industri tradisi Brunei.

Ia juga memberikan peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman dalam bidang pengurusan perindustrian khususnya dalam bidang perniagaan sekali gus berkongsi hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh pelajar.

Pameran dengan tema, Industri Tradisi Di Era Kontemporari membawa maksud dengan adanya industri-industri tradisi, ia akan dapat memberi gambaran atau gagasan untuk golongan belia dalam mencipta produk mereka tersendiri.

SAHAM
TerdahuluKetengahkan bateri besar
SeterusnyaSahabat misteri