KUALA LUMPUR, 2 April – Berita mengenai semua syarikat yang membida untuk menjadi rakan strategik asing Proton masih kekal dalam usaha itu menjadi petunjuk kukuh bahawa banyak pihak mahu memacu pengeluar kereta Malaysia itu dari pasaran tempatan ke pasaran global, kata seorang pakar geostrategi.
Azmi Hassan berkata melihat kepada tawaran lain yang sama di seluruh dunia, beberapa perkara perlu diketepikan pada peringkat rundingan ini antara DRB-Hicom sebagai pemilik Proton dengan pembida antarabangsa.
“Dalam usaha memastikan Proton melonjak daripada peserta tempatan ke pasaran global, perlu diambil kira pelbagai dimensi seperti teknologi, platform, model baharu dan pengeluaran yang lebih besar,” katanya kepada Bernama.
Azmi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar, pada Selasa yang menafikan laporan media bahawa Proton kini hanya berdepan dengan satu sahaja pembida asing sebagai bakal rakan strategik asing.
Kenyataan berkenaan tidak menamakan pembida tersebut tetapi difahamkan syarikat itu termasuk firma dari China, Geely Automobile Holdings dan pengeluar kereta kedua terbesar di Eropah, Groupe PSA, yang memiliki jenama Citroen, Peugeot dan DS.

Syed Faisal berkata Proton dan pembida masih dalam beberapa proses penilaian terperinci dan menegaskan kepentingan bagi Proton dan bakal rakan strategik mewujudkan sinergi yang akan memastikan kejayaan perkongsian berkenaan.
Azmi berkata beliau yakin antara isu perbincangan ialah pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion yang diperoleh Proton tahun lepas daripada kerajaan yang mempunyai beberapa syarat serta pemindahan semua pembuatannya ke hab di Tanjung Malim.
Beliau berkata bagi firma dari China, Geely, yang hanya jenama domestik di negara itu, sehinggalah mengambil langkah berani membeli pengeluar dari Sweden, Volvo, satu jenama antarabangsa, yang membolehkan syarikat itu menggandakan pendapatannya baru-baru ini, dengan kelebihan penyelidikan dan pembangunan Volvo untuk memacu jualan jenama Geely. – Bernama