DHAKA – Kohinoor Akhter Shi- kha tidak pernah menyangka suatu hari nanti dia boleh membuat telefon pintar di kawasan kejiranannya yang terkenal sebagai hab industri tekstil Bangladesh.
Ini merupakan impian yang menjadi kenyataan bagi Shikha apabila sebuah konglomerat China membina kilang pembuatan telefon bimbit mudah alih mega berhampiran rumahnya di Gazipur di pinggir ibu kota Bangladesh, Dhaka pada 2018.
“Saya sangat gembira dapat bekerja di sini,” kata Shikha, seorang pekerja wanita Transsion Bangladesh.
“Di sini telefon pintar dan papan kekuncinya dibuat,” kata Shikha kepada Xinhua baru-baru ini.
Untuk terus mendahului persaingan, Transsion adalah salah sebuah pengeluar China terkemuka di Bangladesh yang terus berusaha untuk memperkenalkan produk yang sesuai untuk pengguna tempatan.
Selepas memastikan kedudukan yang kukuh dalam pasaran telefon dalam tempoh yang singkat sejak penubuhannya, Transsion menjalankan kilang pemasangan telefon bimbitnya di Gazipur untuk merebut bahagian yang lebih besar daripada pasaran telefon pintar Bangladesh yang semakin berkembang.
Syarikat itu secara rasmi memulakan operasinya di Bangladesh pada 2017 dan setakat ini telah berjaya mempunyai kedudukan yang kukuh dalam kedua-dua segmen telefon berciri serta telefon pintar.
Ia merupakan salah satu pengeluar utama China yang mempunyai kilang pemasangan sendiri di Gazipur, terletak 25km di utara Dhaka, dengan lebih 1,000 tenaga kerja yang kebanyakannya pekerja wanita.
Pernah menjadi hab pembuatan tekstil, Gazipur kini dikenali sebagai bandar telefon pintar dengan syarikat tempatan dan asing termasuk pengeluar terkemuka China seperti Transsion dan Xiaomi menggaji beribu-ribu warga tempatan untuk bekerja di kilang Gazipur mereka.
Perniagaan yang cepat berkembang
Transsion mencapai penjualan yang sangat baik dan telah menjadi pesaing kukuh dalam pasaran Bangladesh.
Willy Cui, pengurus besar Transsion Bangladesh, berkata kilang tempatan itu mula beroperasi secara rasmi pada September 2018, mengeluarkan dan memasang produk telefon mudah alih Transsion.
Pada masa ini, katanya, Transsion mempunyai enam barisan pengeluaran dengan kapasiti tahunan lebih lima juta telefon pintar di kilang seluas 6,500 meter persegi di Gazipur. Kilang itu cepat bertindak balas kepada pasaran tempatan dan menyediakan lebih daripada 1,100 pekerjaan.
Di samping mempromosi pekerjaan tempatan dan meningkatkan kemahiran pekerja industri tempatan, Transsion juga mengambil bahagian secara aktif dalam komuniti setempat, tambahnya.
Firma China itu memiliki tiga jenama telefon mudah alih iaitu itel, TECNO dan Infinix dan sudah menjadi pemain kedua terbesar dalam pasaran telefon pintar di Bangladesh. Dengan perniagaan yang semakin berkembang, Transsion telah membina sebuah kilang baharu di Narayanganj berhampiran Dhaka.
Mosammat Kamrunnahar yang bekerja di bahagian kualiti kilang Transsion Bangladesh berkata, “Saya mempunyai diploma dalam bidang elektrik dan elektronik dan saya sangat gembira kerana saya mendapat pekerjaan di sini.”
Perkhidmatan selepas jualan
Rezwanul Hoque, ketua pegawai eksekutif Transsion Bangladesh, berkata beratus-ratus orang bekerja di Carlcare (jenama perkhidmatan pelanggan Transsion) di seluruh negara untuk memenuhi keperluan selepas jualan.
Firma itu telah memenangi reputasi yang baik untuk produknya yang berkualiti tinggi, tindak balas yang pantas terhadap pasaran dan kapasiti pengeluaran yang fleksibel.
Menurutnya, kilang baharu itu dijangka siap beroperasi pada penghujung 2022 dan akan menyediakan 2,500 pekerjaan tempatan. “Pembukaan kilang baharu itu juga akan memacu pembangunan industri sekitar,” kata Cui. – Xinhua