Pacu pengembangan dengan pesawat A321neo

KUALA LUMPUR, 20 OKT – AirAsia bakal menerima pesawat jenis Airbus A321neo mulai akhir 2019 yang mampu meningkatkan kecekapan dan kapasitinya ke laluan seperti Singapura yang mencatat slot penerbangan maksimum, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Riad Asmat.

Pada Jun lepas, AirAsia mengumumkan untuk meningkatkan kapasiti pesawat satu lorong Airbus pada masa depan dengan mengubah 253 tempahan untuk A320neo kepada versi A321neo yang lebih besar, sekali gus menjadikannya pelanggan terbesar dunia bagi model itu.

“Kami (Malaysia) akan menerimanya terlebih dahulu iaitu dua pesawat pada tahun ini dan dua lagi pada tahun depan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Pada masa ini, AirAsia mempunyai sebanyak 230 buah pesawat A320 dalam perkhidmatannya membabitkan hab di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.

Menurutnya, pesawat A321neo turut merupakan model paling laris bagi rangkaian A320 yang dilengkapi teknologi terbaharu. – Bernama