Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Pacu usaha capai net zero 2035

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Projek pembangunan pesat dan kemajuan teknologi telah membawa kepada beberapa kesan negatif serta tidak diingini kepada alam sekitar tempatan dan global di mana masa untuk mengambil tindakan adalah sekarang.

    “Kita memerlukan pendekatan holistik untuk memacu agenda kemapanan dan memacu komitmen bagi memberikan tumpuan dalam memastikan tindakan-tindakan dilakukan segera untuk mencapai matlamat Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Brunei (BNCCC) net zero menjelang 2035.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif
    Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dalam kata alu-alu-annya pada majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara BNCCC dan BIBD yang berlangsung di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir semasa majlis penandatanganan berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua serta Pengerusi BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir ialah Menteri Pembangunan dan Pengerusi Bersama BNCCC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta ahli BNCCC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Daud; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi serta ahli BNCCC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di JPM, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli Lembaga Pengarah BIBD dan Badan Penasihat Syariah BIBD serta rakan-rakan korporat lain.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew; Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib hadir menyaksikan majlis penandatanganan MoU tersebut.
    Menteri-menteri kabinet turut menyaksikan pameran yang ditampilkan BIBD semasa majlis yang berlangsung di Bangunan PGGMB, kelmarin.
    Hajah Noraini dan Dr Nor Imtihan bertukar-tukar dokumen MoU yang dimeterai pada majlis itu.- Gambar serahan BIBD

    MoU yang dimeterai itu bermatlamat untuk menubuhkan, mempromosikan dan membangunkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak dalam memajukan penyelesaian tindakan iklim untuk memacu pelepasan karbon rendah negara dan menubuhkan haluan berdaya tahan iklim bagi sebuah negara mampan.

    Ia juga akan meneroka kerjasama dalam mana-mana bidang minat bersama termasuk Protokol Hijau, aktiviti penanaman pokok, tenaga boleh diperbaharui, kempen kesedaran dan pendidikan, pelaburan dan pembiayaan mampan dalam pemuliharaan tenaga.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, Hajah Noraini menyatakan bahawa BIBD sebagai warga korporat amat berbesar hati untuk menyahut seruan itu dan merupakan organisasi swasta pertama untuk menjadi rakan kongsi rasmi bagi Race to Zero, menerusi kerjasama dan kolaborasi kuat dengan BNCCC melalui Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS).

    “Satu ikrar yang akan diambil sebagai nilai perniagaan teras kami yang akan membentuk secara progresif ekosistem perniagaan bagi BIBD dan kumpulan syarikatnya bergerak ke hadapan,” tambah Hajah Noraini.

    Pada majlis itu, menandatangani bagi pihak BIBD ialah Hajah Noraini dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar selaku ketua bagi Kumpulan Transformasi Kemapanan BIBD.

    Sementara itu, menandatangani bagi BNCCC ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dengan Setiausaha Tetap, Jabatan Tenaga di JPM, Haji Azhar bin Haji Yahya selaku saksi dan pengerusi Jawatankuasa Eksekutif bagi Perubahan Iklim.

    MoU itu bermatlamat untuk mengenal pasti projek-projek utama dengan kerjasama Jabatan Tenaga termasuk pemasangan panel solar di kawasan perubahan yang disasarkan.
    Pihak berkepentingan utama bagi inisiatif berkenaan termasuk Jabatan Tenaga di JPM, Kementerian Pembangunan, BCCS, Jabatan Kemajuan Perumahan dan BIBD.

    Melalui MoU itu, BIBD sebagai organisasi swasta pertama untuk menjadi rakan kongsi kepada Race to Zero kepada kerajaan Baginda Sultan bersama-sama agensi utama BNCCC, akan juga melihat ke dalam pembangunan produk-produk pembiayaan hijau yang berpotensi untuk menangani jurang pasaran dan menggalakkan pengangkatan dalam kalangan industri, perniagaan dan peringkat runcit.

    Di samping majlis penandatanganan itu, BCCS turut mengetengahkan beberapa projek dan inisiatifnya.

    Sementara itu, BIBD mengetengahkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada rangka kerja kemapanan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...