Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Dua lelaki dan seorang wanita yang didapati bersalah selepas perbicaraan atas tuduhan penyalahgunaan dadah, dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Belait, baru-baru ini.
Sewadin bin Mattamin dan Molini bin Asni, masing-masing dijatuhi enam tahun enam
bulan penjara berserta enam kali sebatan manakala itu, Salmalisa binti Salim menerima hukuman lima tahun dan 11 bulan penjara.
Ketiga-tiga tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dakwaan memiliki 5.1066 gram methamphetamine untuk tujuan mengedar dan tuduhan memiliki peralatan mengambil dadah.
Mereka bagaimanapun mengaku bersalah untuk pertuduhan mengambil dadah. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Panaga, Seria pada 28 November 2011.
Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman ketika memutuskan hukuman berpuas hati dengan bukti yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali yang menjurus kepada ketiga-tiga tertuduh selaku pemilik dadah tersebut.
Straw dan alat penimbang dengan kesan methamphetamine dan ketamine yang ditemui dalam rumah yang dihuni ketiga-tiga tertuduh turut membuktikan mereka adalah pemiliknya.
Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa nilai dadah yang dirampas dari rumah tertuduh dianggarkan berharga $4,680.89 dalam pasaran gelap.