Padah beri ancaman bunuh PM

BARCELONA, 8 Nov – Seorang lelaki yang memiliki ‘gudang senjata’ telah ditahan pada September lalu atas ancaman dalam talian untuk membunuh Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, menurut pegawai hari ini.

Akhbar The Publico yang menyiarkan berita itu berkata, lelaki tersebut berusia 63 tahun dan antara senjatanya adalah senapang dan sub mesingan.

Menurutnya, ia telah membuat ancaman itu ke atas Sanchez kerana beliau sangat marah terhadap tindakan perdana menteri itu menggali semula kubur diktator Francisco Franco dari tempat pengebumiannya berhampiran Madrid.

Lelaki yang mahu membunuh Presiden Kerajaan Sepanyol telah ditahan di timur laut bandar Terrassa di Catalonia, menurut pasukan polis Mossos d’Esquadra menerusi Twitter.

“Penahanannya telah dilakukan di rumah dan kini dia berada dalam penjara,” tambahnya.

Mahkamah tinggi Catalonia berkata beliau disyaki berkomplot untuk melancarkan serangan ke atas pihak berkuasa dengan menggunakan senjata.

Lelaki itu juga dituduh membuat ‘ancaman serius,’ secara haram memiliki senjata, bahan letupan yang banyak,” dan juga jenayah kebencian.

Jurucakap mahkamah memberitahu AFP, lelaki itu telah memberi ancaman dalam talian dan telah ditahan pada pertengahan September lalu.

“Semasa menggeledah kediamannya bagi memeriksa sama ada ancaman itu adalah benar, gudang senjata telah ditemukan, sekali gus mengukuhkan lagi kebenaran ancaman itu,” tambahnya.

Menurutnya, beliau tidak memiliki lesen senjata.

Kerajaan Sepanyol berkata dalam satu kenyataan bahawa tidak ada kompromi untuk keselamatan perdana menteri. – AFP