Padah buang sampah di tempat awam

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 10 Jan – Seorang individu telah dikenakan kompaun $100 kerana membuang sampah di tempat awam di Kuala Belait.

Bahagian Penguatkuasaan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria telah mengeluarkan kompaun berkenaan terhadap Chong Choon Sai di bawah Bab 30, Seksyen 12 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil kerana secara tidak bertanggungjawab membuang sampah dari dapur ke tempat awam yang bukan ditetapkan sebagai tempat pembuangan sampah berdekatan kawasan tempat makan Gerai Bunga Simpur, Pekan Belait.

Chong Choon Sai diberi tempoh tujuh hari untuk membayar denda berkenaan dan jika gagal dia boleh dihadapkan ke mahkamah di mana jika bersalah boleh dikenakan denda $1,000 atau penjara sebulan bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan seterusnya, dia boleh didenda $3,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan.

Sehubungan dengan itu, Unit Penguatkuasaan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria mengingatkan orang awam dan para pemilik syarikat untuk mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil dan menekankan supaya semua sampah dibuang ke tempat yang telah ditetapkan bagi memastikan kebersihan persekitaran.

Manakala itu, orang awam yang ingin melaporkan mengenai kesalahan berkaitan pembuangan sampah di tempat awam bolehlah menghubungi hotline unit penguatkuasaan tersebut di talian 8896108.