Padah buang sampah merata

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Seramai 28 orang individu dan dua buah syarikat dikenakan kompaun $100 bagi setiap individu dan $200 bagi setiap syarikat setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) dan (b) kerana meletak atau melonggok serta meninggalkan sampah dan membuang puntung rokok di kawasan sekitar Pusat Bandar Seri Begawan, Kiulap, Gadong, Kiarong, Tungku Link, Serusop dan Beribi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), di sini, hari ini, kompaun berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Bandaran BSB, semasa Operasi Bersih 4/5/6/2020, baru-baru ini.

Kenyataan menyatakan bahawa individu yang dikenakan kompaun terdiri daripada dua orang warga Brunei, seorang warga Malaysia, 11 orang warga Bangladesh dan 14 orang warga Indonesia.

Jabatan Bandaran BSB mengingatkan orang ramai dan peniaga-peniaga termasuk premis, penyewa bangunan komersial supaya tidak membuang sampah di tempat-tempat awam, lebih-lebih lagi dalam persediaan negara menyambut Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang bakal menjelang demi menjaga kebersihan dan imej negara sekali gus menjaga kesihatan awam.

Sebarang aduan dan maklumat yang berkaitan dan mencurigakan boleh disampaikan terus ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Bandaran BSB menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123 atau e-mel [email protected]

Sampah yang dibuang di kawasan awam. – Gambar Jabatan Bandaran BSB