Padah buang sampah, puntung rokok di tempat awam

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Tiga individu telah dikenakan kompaun sebanyak $100 setiap seorang setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) dan (1) (b) kerana membuang sampah dan puntung rokok di tempat awam sekitar kawasan Kiulap, Kampung Delima Satu dan Kampung Bunut.

Kompaun dikeluarkan semasa pemantauan kebersihan harian rutin yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran BSB, di sini, dua buah syarikat juga dikenakan kompaun $200 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (b) kerana membuang sampah di tempat awam sekitar kawasan Kampung Manggis dan Kampung Sungai Akar semasa rondaan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran BSB.

Dalam kes berkenaan, syarikat-syarikat dan individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun dalam tempoh tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000. Manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Jabatan Bandaran BSB juga memperingatkan supaya syarikat-syarikat perniagaan dan orang ramai tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi menjaga kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam.

Sebarang aduan dan perkongsian maklumat boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang www.123.gov.bn atau e-mel [email protected]

Dua buah syarikat dikenakan kompaun $200 kerana membuang sampah di tempat awam sekitar kawasan Kampung Manggis dan Kampung Sungai Akar. – Gambar serahan Jabatan Bandaran BSB