Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun telah dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, kelmarin, atas kesalahan membuat laporan polis palsu.
Muhd Abdul Aziz bin Haji Ismail membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Belait pada 11 pagi, 6 Februari 2020, mendakwa bahawa salah seorang pegawai polis di sana telah menahan dan tidak memulangkan barangnya berupa beg yang mengandungi dompet berisi wang tunai $6,000, beberapa dokumen peribadi, kunci kereta dan iPhone 7.
Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mengatakan bahawa kes defendan bertambah buruk apabila dia membuat tuduhan serius terhadap seorang pegawai polis. Fakta kes mendedahkan bahawa defendan melakukan kesalahan itu kerana diugut oleh seorang lelaki bernama Azim yang juga telah mengambil begnya. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli.




























