Padah buat video palsu cetus panik

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Seorang wanita tempatan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bagi menghadapi pertuduhan kerana membuat rakaman video yang mengandungi pernyataan palsu yang mungkin menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai.

Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali menghadapkan pertuduhan terhadap Hajah Faizah binti Haji Abdul Gapar, di bawah Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam, Bab 148, yang membawa hukuman denda maksimum $3,000 dan penjara tiga tahun. Tertuduh melantik Peguam Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman yang telah memohon untuk diberikan masa bagi anak guamnya membuat pengakuan.

Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memberi masa kepada pihak pembelaan dan menangguhkan kes itu hingga 26 Oktober. Menurut pihak pendakwaan, pernyataan yang terdapat dalam rakaman video tersebut mendakwa bahawa sebuah restoran di Mabohai telah didapati (oleh pihak polis) beroperasi dengan pekerjanya melanggar Perintah Kuarantin yang dikenakan terhadap mereka.

Pejabat Peguam Negara juga mengingatkan orang ramai bahawa sesiapa yang menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan membuat pernyataan palsu, terutamanya yang mungkin menimbulkan rasa panik dan kegelisahan orang ramai pada masa negara bergelut menangani gelombang kedua wabak COVID-19 ketika ini, boleh didakwa di bawah Akta Ketenteraman Awam, Bab 148.