Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara dan sebat ke atas dua orang warga Vietnam yang menceroboh masuk ke negara ini selepas dihantar pulang dan dihalang masuk ke negara ini setelah melakukan kesalahan sebelumnya.
Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu memerintahkan Canh Tinh Nguyen, 41, dan Anh Quyet Bui, 44, masing-masing menjalani hukuman penjara setahun, dengan tiga kali sebatan.
Menurut Pendakwa Imigresen Haminah binti Haji Awang Salleh, bahagian penguatkuasaan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di STKRJ Tungku Gadong dan sebuah lagi di Kampung Bebuloh pada pukul 4 petang 20 September sebagai sebahagian daripada operasi.
Kedua-dua mereka telah ditahan apabila kakitangan memeriksa pasport mereka, yang tidak mengandungi cop ketibaan masuk ke Brunei.
Mereka dibawa untuk siasatan yang kemudian mendedahkan bahawa kedua-dua mereka sememangnya menyelinap ke negara ini bersama-sama.
Mahkamah mendengar bahawa kedua-dua mereka mula-mula cuba memasuki Brunei melalui Pos Kawalan Kuala Lurah pada 16 September, tetapi ditolak.
Anggota imigresen yang bertugas di pos itu mengetahui bahawa mereka dilarang untuk memasuki negara ini atas kesalahan terdahulu.
Kedua-duanya kemudiannya kembali ke Limbang dan sekali lagi membuat percubaan
untuk memasuki semula negara ini.
Pada 18 September, mereka menggunakan bot di sungai Limbang dan berjaya mema-suki Sungai Brunei, berhampiran Temburong.
Sebaik sahaja mereka sampai mendarat di Temburong, defendan meminta seseorang untuk menjemput mereka dan menuju ke bandar.