Padah curi air kelapa dan Takoyaki

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Dua lelaki dan seorang wanita yang mencuri 15 cawan air kelapa dan empat pek makanan Takoyaki yang dihantar pemiliknya ke kedai runcit untuk jualan, dijatuhi hukuman denda $1,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Hukuman terhadap Khairul bin Haji Kula, 38, Aizuddin bin Asman, 19, dan Siti Fatimah binti Haji Mohd Salleh, 34, dijatuhkan oleh Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar yang turut memerintahkan hukuman tiga minggu penjara jika gagal membayar denda itu.

Khairul dan Aizuddin, masing-masing juga diperintahkan untuk membayar ganti rugi $25 kepada pemiliknya kerana memakan dan meminum jualannya, dan jika gagal akan berdepan tambahan satu minggu penjara. Dalam kejadian pada 10 Mei 2020 kira-kira jam 5:20 pagi, pemiliknya menghantar jualannya ke kedai runcit di Kampung Tungku namun sekitar jam 10:39 pagi, pemilik jualan menerima teks kiriman daripada pekerja kedai yang memaklumkan mengenai barang jualannya dicuri.

Rakaman CCTV mendedahkan sebuah kereta berwarna putih yang tiba di kawasan kedai di mana dua individu keluar dari kereta dan mengambil kotak sejuk yang mengandungi air kelapa dan bakul berisi pek makanan Takoyaki.

Siasatan membawa tangkapan tertuduh pada 12 Mei 2020. Aizuddin juga mengaku menjual kotak sejuk itu kepada jirannya. Dalam rekod mahkamah, hanya Khairul mempunyai rekod jenayah lampau. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli.