Padah curi bahan bakar

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun telah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, setelah mengaku salah mencuri gelen bahan bakar.

Timbalan Pendakwa Raya Sabrina Mahmud mendedahkan kepada mahkamah bahawa Mohd Azmi bin Aji, pada kira-kira jam 9 malam 21 Ogos lalu, berjalan-jalan sehingga terserempak dengan sebuah bot yang diletakkan di dalam sebuah garaj di Kampung Saba Darat dan menaikinya untuk mencari barang yang hendak dicuri.

Tertuduh membuka ruang simpanan dan melihat dua gelen bahan bakar Yamaha 24 liter berwarna merah di mana satu daripadanya kosong sementara satu lagi berisi bahan bakar, dan mengambilnya.

Sejurus selepas itu, tertuduh menghentikan sebuah teksi air dan menaikinya dengan membawa bersama gelen berkenaan menuju ke Kampung Pandai Besi. Dalam perjalanan, tertuduh menjual gelen berisi bahan bakar kepada pemandu teksi air pada harga $13.

Setibanya di tempat tujuan, tertuduh berusaha untuk menjual gelen kosong kepada penduduk Kampung Pandai Besi, namun tidak ada yang berminat untuk membelinya.

Pada pukul 10 malam, mangsa diberitahu oleh abangnya bahawa gelen bahan bakar milik suaminya hilang dari bot mereka. Mangsa kemudian meminta tolong kakak dan adik-beradiknya yang lain untuk mencari gelen tersebut.

Setelah mencari dari Kampung Saba dan akhirnya di Kampung Pandai Besi, mereka mendapati tertuduh membawa salah satu gelen tersebut. Tertuduh cuba melarikan diri tetapi adik-beradik mangsa berjaya menangkapnya.

Setelah konfrontasi, tertuduh mengaku telah mencuri dua gelen bahan bakar itu dan menjualnya kepada pemandu teksi air.

Akhirnya mereka membawa tertuduh ke Balai Polis Kampong Ayer dan terus membuat laporan polis. Siasatan polis mendapati bahawa bahan bakar yang dijual telah berjaya didapatkan semula daripada pembeli di mana anggaran kos kedua-dua gelen tersebut bernilai $200.

Ketika menjatuhkan hukuman, Majistret Dewi Norlelawati Haji Abdul Hamid turut menekankan bahawa tertuduh tidak menyesali perbuatannya kerana dia bukanlah baru dalam melakukan jenayah dan memiliki rentetan sabitan terdahulu.