Padah curi buah mangga

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Seorang lelaki terpaksa menjalani dua minggu penjara selepas gagal membayar denda $500 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret, hari ini atas kesalahan mencuri buah mangga.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu memutuskan hukuman itu terhadap Muhammad Noramaluddin bin Salleh, 30, yang mengaku bersalah mencuri 29 biji mangga dari kawasan rumah yang terletak di Menglait, Gadong.

Dalam kejadian 3 Mei 2020, kira-kira jam 9:40 pagi, tertuduh menjolok mangga dari luar kawasan rumah tanpa kebenaran pemiliknya, dan menyimpan buah tersebut ke dalam beg plastik dan beg galas yang dibawanya.

Perbuatannya disedari jiran yang tinggal di seberang jalan.

Jiran yang curiga melihat tertuduh yang ketika itu memakai topi dan menutup mukanya menggunakan selendang terus mendekatinya dan menanyakan sama ada tertuduh mendapat kebenaran daripada pemilik pokok mangga itu.

Jiran itu membawa tertuduh berjumpa pemiliknya yang menafikan ada memberi kebenaran untuk tertuduh.

Laporan polis dibuat selepas pemilik mangga menemukan buah mangga dalam beg plastik dan beg galas. Tertuduh mengaku mencuri buah mangga tersebut untuk tujuan dijual.

Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh sebelum ini pernah disabitkan kesalahan mencuri udang harimau dari sebuah pasar raya pada Mac 2020, dan hanya dikenakan hukuman denda.