Padah gagal bayar gaji pembantu

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Mahkamah Majistret telah menjatuhkan hukuman penjara selama 78 minggu mulai kelmarin kepada seorang lelaki tempatan, Hamzah bin Yahya kerana gagal membayar gaji pembantu rumahnya iaitu Sadirah (warga Indonesia) selama 31 bulan.

Menurut kenyataan yang diterima daripada Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di sini, hari ini, tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 6 Disember 2018 dan telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman denda sebanyak $18,600 dan jika gagal berbuat demikian akan dipenjarakan selama 62 minggu.

Selain itu, tertuduh juga dikenakan Compensation Order sebanyak $6,850 dan jika gagal akan dipenjarakan selama 16 minggu. Tertuduh telah diberikan tempoh selama enam bulan untuk membuat pembayaran denda berkenaan.

Walau bagaimanapun, tertuduh gagal membayar denda tersebut selepas tempoh enam bulan itu berakhir dan tertuduh sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Tertuduh telah didakwa sebanyak 31 tuduhan di bawah Bab 39 (1), Perintah Pekerjaan, 2009.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh dalam pada itu juga menyarankan kepada majikan-majikan supaya akan sentiasa membayar gaji bagi mana-mana pekerja yang digajinya tidak lewat tujuh hari selepas tamat tempoh gaji.

Sebarang maklumat dan pertanyaan mahupun aduan berhubung dengan isu perburuhan, bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di talian 2381848 (waktu bekerja) atau hotline di talian 7298989 (Selepas waktu bekerja) atau emel ke info.buruh@buruh.gov.bn / led@buruh.gov.bn .