Saturday, December 2, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    Padah gagal bayar TAP, SCP

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Sebuah syarikat telah didenda atas kesalahan di bawah undang-undang Tabung Amanah Pekerja (TAP) iaitu gagal membayar caruman pekerja dan mendaftarkan pekerja.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TAP, di sini, hari ini, TAP telah membuat pendakwaan terhadap Seri Lagenda Sdn Bhd atas kesalahan gagal membayar caruman pekerja dan mendaftarkan pekerja di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 26 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009.

    Pendakwaan kes telah dilaksanakan di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan dan dijalankan oleh pegawai-pegawai pendakwa TAP iaitu Dayang Linda binti Arman Michael Anniah dan Awang Husraime bin Hussin.

    Syarikat berkenaan yang diwakili oleh pengarah syarikat telah mengaku bersalah atas empat pertuduhan iaitu gagal membuat pembayaran caruman Skim TAP dan SCP serta gagal mendaftarkan pekerja ke dalam Skim TAP dan SCP.

    Dalam hubungan itu, Mahkamah Majistret di sini telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak $5,000 dan syarikat itu diperintahkan untuk membayar kesemua caruman Skim TAP dan SCP yang tertunggak serta dividen yang perlu dibayar sebelum Mac 2023.

    Di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya.

    Dalam hal itu, bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, TAP mengingatkan majikan untuk sentiasa memastikan mereka membuat pembayaran caruman TAP dan SCP pekerja sebelum 15 hari bulan pada bulan berikutnya bagi mengelakkan caj lewat pembayaran menurut akta TAP.

    Pada masa yang sama, jika ada pekerja yang belum didaftarkan ke TAP atau tidak dicarumkan TAP dan SCP, dinasihatkan untuk membuat aduan ke Pusat Panggilan TAP di talian 2382929 atau hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 8998290 semasa waktu bekerja, e-mel kepada ask@tap.com.bn atau dengan mengunjungi mana-mana kaunter TAP dengan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS$2.2 juta dilarikan perompak bersenjata

    NEW DELHI, 1 DIS – Perompak bersenjata melarikan 188 juta rupee (AS$2.2 juta) dari sebuah bank di negeri timur laut Manipur yang dilanda keganasan. Rompakan...