Friday, March 24, 2023
26.3 C
Brunei

-

Padah gagal bayar TAP, SCP

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Gara-gara gagal membayar caruman wang pekerja, sebuah syarikat telah didenda $2,000 dan diperintahkan untuk membayar kesemua caruman Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan SCP tertunggak serta dividen dalam tempoh sebulan oleh Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan.

Pendakwaan ke atas Menara Gemilang Sdn Bhd oleh TAP di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan 2009 telah dijalankan secara maya pada 16 Mei lalu.

Pendakwaannya dijalankan oleh para pegawai pendakwa TAP, Dayang Nurul Siti Diyana binti Abdullah dan Awang Husraime bin Hussin. Syarikat tersebut diwakili pengarah syarikatnya, yang mengaku bersalah ke atas dua pertuduhan kerana gagal membuat pembayaran caruman Skim TAP dan SCP itu.

Di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya.

Dalam usaha memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, TAP ingin mengingatkan majikan untuk sentiasa memastikan mereka membuat pembayaran caruman TAP dan SCP pekerja mereka sebelum 15 haribulan pada bulan berikutnya bagi mengelakkan caj lewat pembayaran menurut Akta TAP.

Pada masa yang sama, jika ada pekerja yang belum didaftarkan ke TAP atau tidak dicarumkan TAP dan SCP, adalah dinasihatkan untuk membuat aduan ke Pusat Panggilan TAP di talian 2382929 atau Hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 8998 290 semasa waktu bekerja atau e-mel ke ask@tap.com.bn ataupun dengan mengunjungi mana-mana kaunter TAP dengan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan.

 

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S, Jepun tingkat kerjasama

TOKYO, 23 MAC - Jepun dan Korea Selatan hampir serentak menarik tuntutan eksport mereka terhadap satu sama lain sebagai tanda terbaharu hubungan yang bertambah...
- Advertisment -