Padah guna dokumen palsu beli kereta

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Seorang wanita warga tempatan telah dijatuhi hukuman penjara selama setahun kerana menggunakan surat pengesahan dan slip gaji palsu sebagai dokumen asal.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu ke atas Juliana binti Palak, 32, yang merupakan bekas kakitangan di sebuah kafe dan restoran sehingga Jun 2018.

Pada 11 Jun 2020, defendan ditahan oleh polis dan siasatan mendapati bahawa dia telah mendapatkan dokumen palsu dengan membayar bagi perkhidmatan fotokopi di sebuah kedai di Kuala Belait dengan maklumat yang diubahsuai di atas kertas-kertas berkenaan dan menggunakannya untuk membeli sebuah kereta di sebuah syarikat kereta pada 19 Mac 2020 dengan menyerahkan surat pengesahan kerja palsu kepada sebuah bank pembiayaan kereta tempatan dan tiga slip gaji dikatakannya dikeluarkan oleh bekas majikannya.

Sebelum dihadapkan ke mahkamah, defendan bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah minimart di Wisma Yakin, Kuala Belait.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Adzimah Mukarramah binti Haji Salleh dalam hujah seterusnya menyatakan bahawa pada 10 Jun 2020, defendan sekali lagi menyerahkan surat pengesahan kerja dan tiga slip gaji yang dikatakannya dikeluarkan oleh majikannya kepada sebuah syarikat menjual kereta di Beribi, untuk membeli sebuah kereta menggunakan kemudahan sewa beli.

Apabila syarikat kereta tersebut membuat pengesahan, mereka mendapati bahawa kafe dan restoran tempatnya bekerja telah menamatkan perkhidmatan defendan dan dokumen-dokumen berkenaan tidak sah.

Kafe dan restoran berkenaan kemudian membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan defendan yang mengaku bahawa dia mahu mendapatkan rebat tunai daripada pembelian kereta berkenaan.