Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Seorang lelaki warga Indonesia yang mengaku bersalah atas pertuduhan ceroboh masuk rumah untuk mengintai dan untuk memperoleh kepuasan seksual akan mengetahui nasibnya pada 4 Julai ini di Mahkamah Majistret.
Tarikh sebutan hukuman itu ditetapkan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman terhadap lelaki berusia 54 tahun, yang bekerja sebagai jurulatih kuda di Jerudong.
Pada kejadian 23 Jun 2018, tertuduh naik ke siling mandi rumahnya dan merangkak melalui siling itu ke rumah jirannya dengan harapan dapat memerhatikan mangsa ketika dia mandi.
Perbuatan tertuduh bagaimanapun, diketahui oleh bapa mangsa yang terdengar bunyi bising dari arah siling.
Ketika disoal siasat, tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu beberapa kali antara Jun dan Disember 2017.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula.