Padah langgar lampu isyarat merah

SIBU, 8 Ogos – Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah apabila motosikal dinaiki melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas dipercayai tidak mematuhi lampu isyarat warna merah di Jalan Pedada, lewat malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Supt Alexson Naga Chabu berkata dalam kejadian yang berlaku pada 11:45 malam itu mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Pattrus Gama Baki, 20, manakala rakannya Morision Limbie,18.

Beliau berkata ketika kejadian motosikal mangsa dari arah Jalan Pedada menuju ke pusat Bandar dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan sebuah MPV yang datang dari arah Jalan Wong King Huo menuju ke Jalan Oya.

Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu manakala wanita berusia 21 tahun yang memandu MPV terlibat tidak mengalami kecederaan. – Bernama